Ramasamy mengaku tak bersalah 17 pertuduhan pecah amanah

BUTTERWORTH – Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, mengaku tidak bersalah terhadap 17 pertuduhan berkaitan jenayah pecah amanah membabitkan jumlah keseluruhan RM859,131.29.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut ketika menerajui Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (LWHNPP).

Ramasamy dituduh di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kesemua pertuduhan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth, hari ini.

Sebanyak 13 daripada pertuduhan melibatkan pembelian pedati emas, manakala empat lagi berkaitan kelulusan bantuan – dua untuk pendidikan dan dua lagi untuk perubatan.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-13, Ramasamy didakwa sebagai Pengerusi LWHNPP, yang telah diamanahkan dengan penguasaan dana milik LWHNPP, melakukan pecah amanah jenayah membabitkan jumlah keseluruhan RM779,131.29.

Tertuduh didakwa menyalahgunakan harta tersebut secara tidak jujur dengan membuat bayaran melalui satu cek dan telegraf atas nama seorang kakitangan LWHNPP, L Gunasagaran, untuk pembelian pedati emas daripada syarikat Manasa Wood Creations (MWC), tanpa mendapatkan kelulusan mesyuarat LWHNPP terlebih dahulu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah bank berasingan di George Town antara Mei 2019 hingga April 2023.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar, manakala Ramasamy diwakili barisan peguam yang diketuai Shamsher Singh Thind. Datuk Selva Mookiah pula hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak LWHNPP.

Noor Azura memohon jaminan sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan berkaitan pembelian pedati emas. Beliau turut mencadangkan dua syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Dalam rayuannya, Shamsher memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan sejak Disember lalu serta hadir ke mahkamah secara sukarela.

“Saya mohon jaminan dikurangkan kerana anak guam saya telah memberi kerjasama yang baik kepada SPRM. Kehadiran beliau hari ini membuktikan keseriusannya. Tambahan pula, bayaran yang dibuat adalah kepada pihak ketiga, bukan kepada dirinya atau ahli keluarga,” katanya.

Hakim kemudiannya menetapkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Bagi pertuduhan ke-14 dan ke-15, Ramasamy didakwa melakukan pecah amanah jenayah apabila secara tidak jujur menggunakan dana LWHNPP untuk membuat bayaran RM50,000 melalui satu cek atas nama V. Mangayakarasiy pada 9 Mac 2020, dan RM15,000 melalui satu cek atas nama Danial Saundra Rajan Abdullah pada 24 Ogos 2021.

Kedua-dua bayaran tersebut melibatkan bantuan perubatan yang dilakukan tanpa kelulusan mesyuarat LWHNPP.

Dua pertuduhan selebihnya melibatkan bayaran bantuan pendidikan, iaitu RM10,000 melalui satu cek atas nama T Sugheetha pada 5 Januari 2022, dan RM5,000 melalui satu cek atas nama C Gowreshankere pada 9 Februari 2022, juga tanpa kelulusan LWHNPP.

Pendakwa memohon jaminan tambahan RM40,000 bagi keempat-empat pertuduhan tersebut, bersama syarat tambahan sama seperti sebelum ini.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan melibatkan bayaran perubatan, dan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan melibatkan bantuan pendidikan.

Ramasamy turut dikenakan syarat tambahan sama – menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sebulan sekali.

Jumlah keseluruhan jaminan yang ditetapkan oleh mahkamah ialah RM78,000, yang telah dibayar oleh Ramasamy.

Related Posts

Tangki minyak ‘menyamar’ jadi tayar ganti, helah seludup petrol terbongkar

PADANG BESAR – Sekali pandang seperti tayar ganti biasa, namun di sebaliknya tersembunyi tangki minyak yang diubah suai dipercayai digunakan untuk menyeludup bahan api bersubsidi ke negara jiran. Helah itu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Teguran buahkan hasil, KSN puji kualiti kemudahan I-LEAD Park INSARA

KOTA SAMARAHAN – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menzahirkan rasa berpuas hati dengan kualiti penyiapan projek INTAN Leadership Development Park (I-LEAD) di Institut Tadbiran Awam Negara…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tangki minyak ‘menyamar’ jadi tayar ganti, helah seludup petrol terbongkar

Tangki minyak ‘menyamar’ jadi tayar ganti, helah seludup petrol terbongkar

Laporan RCI TH akan diserah kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut

Laporan RCI TH akan diserah kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut

UMNO Pahang terbuka jalin kerjasama dengan mana-mana parti

UMNO Pahang terbuka jalin kerjasama dengan mana-mana parti

Operasi serentak seluruh negara, 1,043 warga asing ditahan

Operasi serentak seluruh negara, 1,043 warga asing ditahan

RON97 turun 20 sen, RON95 tanpa subsidi turun 15 sen

RON97 turun 20 sen, RON95 tanpa subsidi turun 15 sen

Teguran buahkan hasil, KSN puji kualiti kemudahan I-LEAD Park INSARA

Teguran buahkan hasil, KSN puji kualiti kemudahan I-LEAD Park INSARA