
KUCHING – Sarawak kini bakal menikmati manfaat lebih adil menerusi penyertaan yang lebih besar dalam industri minyak dan gas negara.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan satu dokumen rasmi hasil persefahaman antara beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dokumen tersebut, katanya, merangkumi tiga perkara utama yang menjadi titik tolak kepada penyelesaian kemelut membabitkan Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
“Dalam dua hari lagi akan diumumkan dokumen itu hasil perjanjian saya dengan Perdana Menteri. Saya beri bayangan awal; pertama, dokumen itu mengiktiraf undang-undang negeri dan Persekutuan.
“Kedua, Petros akan kekal sebagai agregator tunggal gas di Sarawak. Ketiga, perjanjian ini juga melibatkan peningkatan pegangan Sarawak dalam industri gas asli cecair (LNG),” kata beliau ketika ditemui oleh medka selepas merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa Borneo (ICW Borneo) 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Tambah beliau, pengiktirafan terhadap undang-undang Sarawak merupakan pencapaian besar yang bakal memperkukuh lagi kedudukan negeri ini dalam pengurusan sumber asli sendiri.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri pada 9 Mei lalu mengeluarkan kenyataan media berkaitan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak mencapai kesepakatan untuk menyelesaikan isu berkaitan Petronas dan PETROS melalui rundingan.
Pertemuan diadakan di Perdana Putra, Putrajaya yang turut disertai barisan kepemimpinan tertinggi kedua-dua syarikat gergasi tenaga tersebut.
Menurut kenyataan itu, pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni berteraskan semangat Persekutuan, dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk memuktamadkan prinsip asas yang dipersetujui sebelum ini.
“Langkah ini penting bagi memastikan potensi besar hasil kerjasama antara Petronas dengan PETROS dapat dimanfaatkan sepenuhnya termasuk mempercepat pembekalan tenaga secara komersial ke negara-negara ASEAN,” jelas kenyataan itu.
Perkembangan ini dilihat sebagai satu kejayaan besar buat Sarawak dalam usaha memperjuangkan hak autonomi sumber tenaga yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).







