
JOHOR BAHRU – Sebanyak 21 sampel berkaitan telah direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) termasuk tujuh makanan dari dapur dewan makan dan kafeteria Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Johor Bahru.
Pengarahnya, Dr Mohtar Pungut berkata, sampel berkenaan diambil bagi membantu siasatan insiden keracunan makanan yang membabitkan 16 pelajar kelmarin.
Katanya, turut diambil adalah enam sampel persekitaran, lima sampel klinikal dan tiga sampel pengendali makanan di MRSM berkenaan selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru menerima maklumat berhubung kejadian itu Sabtu lalu.
Katanya, premis makanan yang disyaki terlibat telah ditutup di bawah Seksyen 18 (1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 (Akta 342).
“PKD Johor Bahru masih menjalankan siasatan bagi mengesan pelajar-pelajar lain yang mungkin bergejala serta mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Jumlah keseluruhan kes yang terlibat adalah 16 pelajar dengan gejala seperti sakit perut, cirit-birit, muntah, loya, sakit kepala, dan demam. Sebanyak 11 kes telah menerima rawatan pesakit luar, manakala lima kes lagi tidak mendapatkan sebarang rawatan. Tiada kes yang dimasukkan ke wad,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan sekurang-kurangnya 16 pelajar MRSM Johor Bahru dilapor mengalami gejala muntah-muntah, cirit-birit dan demam disyaki akibat keracunan makanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada MRSM kira-kira jam 2 petang, sebelum PKD Johor Bahru diarah mengambil tindakan lanjut.



