
LAHAD DATU – Polis giat memburu dua lelaki dipercayai terlibat kes samun bersenjata tajam yang berlaku di Payang, Batu 7.
Kedua-dua suspek Mohd Aidil Jainuddin dan Zulfaddly Hajizul Rahman masing-masing beralamat di Kampung Manau Batu 7 dan Kg Sapagaya.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kedua-dua suspek yang masih bebas disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun bersenjata secara berkumpulan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Iskandar Kiprawi di talian 089-881255,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Menurut Dzulbaharin, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.




