
SEMINGGU sudah berlalu, suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning dilihat berjalan dengan damai dan tertib.
Selari dengan geopolitik di Ayer Kuning yang sebahagian besar terdiri daripada kawasan kampung, aktiviti kempen para calon bertanding lebih tertumpu menyantuni seberapa ramai pengundi yang boleh.
Kemeriahan ceramah mega besar-besaran hampir tidak wujud, yang kelihatan ceramah kelompok dalam lingkungan 30 orang secara lebih santai di warung kopi, balai raya dan rumah pengundi pada waktu malam.
Pendek kata waktu malam di Ayer Kuning hampir tidak hidup dengan demam pilihan raya.
Namun PRK Ayer Kuning masih tidak terlepas daripada bayangan permainan sentimen perkauman, khususnya oleh pihak Perikatan Nasional (PN) yang terus menggunakan naratif ‘UMDAP’ bagi meraih sokongan pengundi Melayu.
Walaupun ketiga-tiga calon – Dr Ustaz Yusri Bakir (BN), Abd Muhaimin Malek (PN) dan Bawani KS (PSM) menunjukkan kematangan politik dengan kempen secara tertib dan harmoni, namun di pihak PN tetap disulami dengan serangan retorik yang membayangkan UMNO sebagai ‘barua’ kepada DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
Pemerhatian di lapangan mendapati ceramah-ceramah kecil anjuran PN di beberapa kawasan seperti Taman Tapah Road dan Kampung Tanjung Keramat masih sarat dengan naratif Melayu-Islam terancam serta tuduhan bahawa UMNO telah menggadaikan prinsip perjuangannya dengan bekerjasama dengan DAP.
Ketika diminta mengulas, Ustaz Yusri berkata, “Fokus saya adalah pada masalah rakyat, kemudahan, kesihatan, pendidikan. Isu perkauman tidak akan bawa kita ke mana-mana.”
Jelasnya, pendekatan ini sejajar dengan kempen BN yang menonjolkan rekod khidmat dan manifesto setempat tanpa melayan provokasi politik kaum.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Syahredzan Johan ketika ditemui berkata, “Rakyat Perak semakin matang. Naratif Melayu-DAP sudah basi. Rakyat lebih berminat kepada isu kehidupan seharian mereka.”
Strategi PN yang meniupkan sentimen perkauman dan keagamaan pada kempen PRK Ayer Kuning ini dipercayai kerana sengkek modal politik untuk menghasut rakyat membenci Kerajaan Perpaduan.
Mood dan momentum rakyat ketika ini lebih berpihak kepada Kerajaan Perpaduan berikutan beberapa isu hangat sebelum ini seperti kenaikan harga barangan harian sudah dapat diatasi.
Bekalan dan harga ayam, telur, bawang, beras dan barang keperluan harian kini dapat dikawal dan mudah didapati di pasaran selain ekonomi Malaysia terus dipacu sehingga mendapat perhatian daripada negara kuasa besar dunia seperti lawatan Presiden China ke Malaysia baru-baru ini.
Malah, populariti Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus melonjak naik sehingga sentiasa meniti di bibir rakyat berikutan pelbagai inisiatif dan program yang membantu meringankan beban rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Apatah lagi, penjawat awam kini mampu tersenyum lebar dengan kenaikan dan skim gaji baharu sejak Disember tahun lalu hasil keprihatinan Perdana Menteri.
Senario ini menghantui PN yang hilang hala tuju berkempen sehingga beberapa isu yang dibangkitkan untuk memburuk calon BN sebenarnya hanya persepsi atau tohmahan fitnah tanpa dilampirkan dengan bukti.
Kelmarin, PN cuba mencetuskan aura pemikat hati pengundi dengan mengumumkan bekas Ketua Wanita UMNO Perak menyertai Pas, namun impaknya hanya seperti angin sepoi-sepoi yang lalu tapi kemudiannya hilang entah ke mana.
Berbaki lima hari lagi, kempen PRK Ayer Kuning sedang menuju kemuncak dan rancak yang pastinya senjata akhir atau ‘buah akhir’ daripada para calon bertanding akan keluar demi memikat hati pengundi.
PRK Ayer Kuning ini menjadi medan ujian penting bagi kestabilan Kerajaan Perpaduan, khususnya dalam menilai penerimaan akar umbi terhadap kerjasama antara BN dan PH.




