
TAPAH – Cubaan pembangkang untuk mengembalikan kemenangan di Sungai Bakap ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning dilihat tidak akan membuahkan hasil.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya menyedari kekalahan Pakatan Harapan (PH) di Sungai Bakap ekoran emosi rakyat yang bercampur baur, ditambah pula banyak isu nasional dimainkan ketika itu.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, tiada emosi yang akan mempengaruhi pemikiran rakyat dan pihaknya yakin parti berjaya mempertahankan kerusi DUN kali ini.
“Saya pergi ke Sungai Bakap banyak kali dan saya tahu kenapa kalah disebabkan waktu itu ada isu penarikan balik subsidi diesel, BlackRock, titah adendum dan kenaikan tarif air.
“Akhirnya pada 26 April nanti kemenangannya akan diterjemahkan. Dari segi kempen, saya memberitahu calon supaya turun padang ke 20 pusat daerah mengundi (PDM) perlu diselesaikan dalam minggu pertama.
“Minggu kedua mereka hanya mengulangi sahaja,” katanya ketika ditemui media di PDM Batu Tiga, pada Khamis.
Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, pihaknya menggunakan kaedah jentera berlapis yang dibahagikan kepada tig lapisan sepanjang pilihan raya.
“Lapisan pertama adalah jentera tempatan, kedua jentera angkat bahagian-bahagian dari negeri Perak dan ketiga pula jentera angkat daripada negeri-negeri.
“Dua daripadanya membantu jentera tempatan. Jadi, itu kaedah kita dengan jentera yang berlapis-lapis.
“Tidak ada emosi yang menimbulkan keresahan rakyat. Saya ada keyakinan bahawa kita (BN) boleh menang dengan baik,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Februari, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir menentang calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 22 April.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, pada 25 Februari lepas akibat serangan jantung.







