
KEMENTERIAN Komunikasi akan terus memantau penggunaan media sosial sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning bagi memastikan ia tidak disalahgunakan untuk menyebarkan berita palsu, bahan berunsur fitnah serta kandungan berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
Sehubungan itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menasihati semua pihak untuk berkempen secara bertanggungjawab dengan mengelak daripada memainkan isu sensitif.
“Saya nasihatkan untuk semua berkempen dengan baik dengan mengelak daripada menabur fitnah ataupun menggunakan elemen 3R dalam kempen terutama dalam media sosial kerana kita ada keupayaan untuk mengesan mereka menghantar mesej dan komen.
“Malah kita juga dengan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang berkuat kuasa 11 Februari lalu, sekiranya seseorang itu didapati bersalah mengikut Seksyen 233 maka dia boleh didenda sehingga RM500,000, jumlahnya sangat besar.
“Jadi saya harap ini akan menjadi peringatan supaya kita mengelak daripada menabur fitnah sepanjang kempen dan pada setiap masa,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai, malam tadi.
PRK Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Mengulas mengenai calon BN, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata Mohamad Yusri mempunyai peluang cerah meraih kemenangan dan mempertahankan kerusi itu.






