
SIBURAN – Dua lelaki tempatan berusia 30 dan 54 tahun cedera parah selepas diserang sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang dalam satu kejadian di sebuah bengkel kenderaan di Jalan Kuching-Serian pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam lebih kurang 9.55 pagi.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian tangan dan kaki akibat diserang dengan senjata tajam. Serangan dipercayai berlaku di dalam kawasan premis bengkel terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata.
“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan bersama Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan kelima-lima suspek yang terlibat,” ujarnya.



