Kadar tarif baharu AS tidak akibatkan ekonomi Malaysia meleset

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi buat masa ini, walaupun Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif.

Perdana Menteri menegaskan bahawa ekonomi negara kekal berdaya tahan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan Malaysia tidak akan memperkenalkan tarif balas.

“Jika tarif 24 peratus itu dilaksanakan, dari sudut ekonomi, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 sebanyak 4.5 hingga 5.5 peratus perlu disemak semula.

“Bagaimanapun, buat masa ini, saya memberi jaminan bahawa kerajaan tidak menjangkakan kemelesetan di Malaysia,” katanya dalam video menyentuh mengenai tarif AS itu disiarkan di Facebook hari ini.

Anwar menjelaskan asas makroekonomi positif Malaysia disokong perbelanjaan isi rumah kukuh, pelaburan domestik mantap, hasil pelancongan baik dan pelaksanaan berterusan pelan induk nasional.

Selain itu, Anwar berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mengemukakan kajian terperinci mengenai kesan tarif terhadap beberapa sektor eksport ke AS pada minggu depan.

Beliau berkata, Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz juga akan mengadakan mesyuarat secara maya bersama dengan menteri-menteri ekonomi ASEAN untuk menyediakan tindakan diselaraskan.

“Kajian impak ke atas sektor tertentu akan dijalankan untuk menentukan bentuk sokongan terhadap sektor dijangka terjejas teruk akibat pelaksanaan tarif,” katanya.

Anwar berkata, semua pilihan akan dikaji dan dipertimbangkan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan sektor perniagaan negara.

“Kerajaan MADANI juga akan mempercepatkan agenda reformasi ekonomi dan perindustrian kita – seperti digariskan pelan induk seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan lain-lain – untuk membina daya tahan ekonomi dan industri Malaysia,” katanya.

Beliau berkata di peringkat serantau, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN akan mengukuhkan kerjasama dengan negara jiran yang lain.

“Negara ASEAN adalah antara negara dikenakan tarif tertinggi oleh AS… Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, akan memimpin usaha mengekalkan rantaian bekalan terbuka dan berdaya tahan, dan memastikan suara kolektif ASEAN didengari dengan jelas dan tegas di pentas antarabangsa.

“Kita perlu sedar bahawa tarif kali ini mungkin permulaan kepada cabaran lebih besar dalam (landskap) ekonomi luar.

“Kita semua perlu bersedia dari segi mental untuk berdepan potensi cabaran lebih getir pada masa akan datang dan bekerjasama sebagai sebuah negara untuk menjaga kemakmuran kita yang berterusan,” tegasnya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha menangani dan mengurangkan impak tarif berkenaan.

“Kita akan melakukan ini, bukan bersendirian dan bukan secara konfrontasi tetapi dengan kerjasama sahabat dan rakan-rakan, dan secara membina.

“Yakinlah, Kerajaan MADANI akan terus mengutamakan kepentingan Malaysia, rakyat kita, perniagaan dan pengeksport kita,” katanya.

Related Posts

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

KOTA KINABALU – Sabah menjadi tuan rumah Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada 11 September 2026.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu petang ini untuk memulakan lawatan kerja selama dua hari ke Sabah. Ketibaan Perdana Menteri di Terminal 2,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

  • By Ithma
  • September 10, 2026
Sabah jadi tuan rumah Mesyuarat MTPMA63 di SICC

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula