
SETIAUSAHA Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menolak dakwaan pembangkang bahawa pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) adalah cubaan untuk memihak kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Muhammad Kamil berkata, pembangkang tidak sewajarnya mempersoalkan pembelian pesawat itu memandangkan ia dilakukan mengikut prosedur biasa seperti kerajaan terdahulu.
“Proses pembelian kapal terbang ini memakan masa selain perlu diselaras mengikut harga dan sebagainya. Cuma, baru-baru ini ia dipersetujui oleh semua pihak.
“Sebelum ini pun memang dasar dan pendekatan kita menggunakan pesawat Boeing ini. Jadi, apa masalahnya dan tidak timbul isu pembelian pesawat ini ada kepentingan tertentu termasuk untuk (Perdana Menteri) jumpa Presiden AS,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau yang mendakwa pembelian 30 pesawat buatan AS itu kononnya sebagai pertukaran bagi membolehkan Anwar bertemu dengan Trump.
Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan ini sebagai serangan politik yang tidak berasas.
“Ini tidak lebih daripada percubaan murahan oleh pemimpin pembangkang untuk mencipta kontroversi,” katanya.
Minggu lalu, MAG mengumumkan rancangan untuk mendapatkan 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 pesawat Boeing 737-10 yang dikuasakan oleh enjin CFM LEAP-1B dengan pilihan untuk 30 lagi pesawat 737.
Pada 22 Mac lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pembelian pesawat baharu Boeing oleh MAG adalah pelaburan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global.
Beliau berkata, pembelian ini turut menyokong operasi Boeing Composites Malaysia (BCM), yang menghasilkan struktur pesawat Boeing di Malaysia dan mempunyai 1,000 pekerja rakyat Malaysia setakat ini.





