PERGESERAN pendapat dalam isu kuil ‘haram’ di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, yang perlu dipindahkan selesai dengan penuh harmoni.
Tidak ada ketegangan berlaku dalam proses rundingan itu, cuma yang tercetus hanyalah ‘suara tidak penting’ oleh kelompok oportunis yang mahu mencipta nama.
Kelompok kecil ini sebagai contoh badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan peguam tertentu.
Sikap kelompok kecil yang terhina ini sangat tidak sesuai dilayan dalam konteks negara Malaysia – yang mempunyai kepelbagaian kaum.
Pihak pengurusan kuil setuju berpindah dari lokasi sekarang dan pihak kerajaan juga sudah memberi jalan penyelesaian terbaik untuk pihak pemilik tanah dan pembina kuil itu.

Bahkan semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah mengesahkan kehadiran beliau untuk meletakkan batu asas pembinaan Masjid MADANI di tapak yang menjadi pertikaian itu.
Seperti biasa, ketika isu ini mula-mula panas, maka pembangkang sempat juga menghangatkan suasana.
Kononnya menuduh Kerajaan MADANI tidak tegas jika membenarkan permohonan pihak kuil ‘haram’ itu terus beroperasi.
Kadang-kadang inilah masalah apabila pembangkang menggunakan logik yang tidak masuk akal.
Kalau kerajaan izinkan, maka dituduh pula kerajaan zalim terhadap penganut agama lain.
Mungkin pembangkang lupa ketika mereka menjadi kerajaan, mereka pernah luluskan hingga 20 tapak kuil ‘haram’ dengan memindahkan status itu kepada ‘halal’.
Jadi, berhentilah guna kad agama dan bangsa dalam bab berpolitik kerana jika dilondehkan segala macam keputusan pelik dibuat semasa menjadi kerajaan, mungkin pembangkang akan menarik nafas panjang dan berkata ‘dia buat boleh, kita buat tak boleh’!




