
KEDAULATAN undang-undang harus diutamakan dalam menguruskan isu sensitif melibatkan tempat ibadat di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu didirikan tanpa kebenaran pemilik terdahulu atau kini.
Menjawab kontroversi pembinaan masjid Jalan Masjid India dan pemindahan kuil, Anwar berkata, ia bukanlah isu pertama rumah ibadat dirobohkan berikutan pelanggaran undang-undang.
“Soal pembinaan masjid di tapak yang ada kuil yang tidak mendapat izin. Ada orang tak mahu sebut, bukan kuil haram, tak apalah istilah.
“Tapi kuil itu tidak dapat izin milik tanah dari tuan tanah, sama ada (tuan tanah) dulu DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) atau sekarangnya syarikat (yang memilikinnya).
“Jadi kita negara hukum. Negara hukum ini ikut hukum dan oleh kerana nak jaga hubungan antara kaum, kita lakukan sesuatu yang tidak semestinya perlu iaitu runding dengan baik kerana bagi mereka (penganut agama Hindu) itu tempat kepercayaan dan amalan agama harus dipindahkan dengan baik,” kata Anwar ketika berucap pada sambutan Hari Polis ke-218 pagi tadi.
Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
DBKL sebelum ini mengenal pasti lokasi baharu untuk penempatan semula kuil Hindu di Jalan Masjid India, yang kini menduduki sebahagian daripada tanah milik persendirian.
DBKL juga memberi jaminan bahawa semua langkah yang diambil dan akan dilaksanakan selari dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Anwar berkata, terlalu banyak kritikan melampau dibuat oleh beberapa pihak terhadap kerajaan berhubung isu tersebut.
Beliau mengambil contoh terdapat beberapa masjid di Lahad Datu, Sabah dan di Sentul, Kuala Lumpur pernah dirobohkan kerana tidak mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Yang saya ambil sikap begini kerana saya ambil pendekatan yang sangat sabar. Saya minta supaya selesai dengan baik.
“Saya seorang Muslim, mahu jadi Muslimin Hakikiyun. Saya tidak pernah diajar oleh agama saya untuk memusuhi dan merosakkan harta benda mereka, tetapi jangan mereka anggap bahawa kita ini lemah,” katanya.
Ujarnya, Malaysia perlu selaras mengikut undang-undang yang termaktub dalam menyelesaikan isu ini.
“Walaupun dia salah, tempatnya salah, kita kata, angkat baik-baik, pindah. Syarikat beri sedikit ganti rugi, saya tak tahu ganti rugi bersebab apa, kemudian diberikan tempat baharu dengan ihsan DBKL.
“Jawatankuasa (kuil) setuju runding tapi ada penghasut-penghasut lain, entah dari mana dengan bicaranya yang melampau.
“Yang kelompok Islam yang ekstrem maki saya kerana dia kata saya ini tunduk kepada kumpulan (agama) Hindu, yang kelompok Hindu yang melampau pula kata saya ini nak Islamkan semua, apatah lagi masjid itu nak dinamakan Masjid MADANI,” katanya.




