
PUTRAJAYA – Pas ketika ini dilihat bersikap terdesak selepas menggesa penduduk berasal dari negeri lain yang menetap di Selangor agar menukar tempat mengundi mereka ke negeri terbabit.
Naib Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Azli Yusof berkata, gesaan tersebut jelas membuktikan Pas mahupun Perikatan Nasional (PN) tidak memiliki sokongan yang mencukupi di Selangor.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Selangor menegaskan , pengundi pada hari ini sudah semakin bijak dan mula menyedari akan kesilapan mereka dalam mengundi PN pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.
“Rekod pentadbiran PN di negeri yang mereka kuasai sebaliknya telah menimbulkan banyak persoalan dan kekecewaan dalam kalangan rakyat kerana tidak banyak membawa perubahan.
“Malah, banyak bersandar kepada sokongan dan bantuan dari Kerajaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azli yang juga ahli Parlimen Shah Alam menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memantau sebarang usaha pemindahan alamat pengundi yang dilihat mencurigakan.
“Keperluan untuk SPR meneliti perkara ini agar proses pilihan raya akan kekal telus dan berintegriti.
“Pengundi juga dinasihatkan untuk berpegang teguh kepada prinsip demokrasi yang bersih dengan mendaftar di tempat kediaman sebenar mereka, bukan atas desakan politik pihak tertentu,” katanya.
Pada 13 Mac lalu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri menyuarakan harapan agar penyokong Pas yang bermastautin di Selangor dapat mendaftar untuk mengundi di sana menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ab Halim berkata, ia khususnya bagi penduduk Selangor yang berasal dari negeri-negeri yang ditadbir Pas, seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Jika ia dapat dilakukan, katanya lagi, tidak mustahil PN mampu menawan negeri itu pada PRU akan datang.
Terdahulu, gesaan Tamuri turut mendapat kritikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, yang menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.
Beliau menegaskan, Pas sepatutnya memberi tumpuan kepada khidmat di kawasan yang dimenangi mereka, bukan mencari pengundi dari negeri lain untuk menentukan keputusan pilihan raya di Selangor.

