KUANTAN – Sekretariat Muafakat FELDA Pahang akan menjalankan tapisan secara teliti bagi memilih bakal penerima 16,035 lot rumah di bawah Skim Tanah Rakyat FELDA (STRF) di negeri ini.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, setakat ini proses penilaian setiap permohonan dilaksanakan dengan teliti, dipengerusikan oleh pengurus rancangan sebelum dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima manfaat tersebut.
“Sebagaimana diarahkan oleh Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail), semua proses pemilihan penerima lot rumah dalam kalangan generasi baharu FELDA dijalankan mengikut prosedur ditetapkan.
“Mereka perlu melalui beberapa peringkat, termasuk mengisi borang dan menjalani proses penilaian, sebelum nama mereka diangkat ke dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri. Jadi, kita sudah mempunyai sistem yang tersusun,” katanya.
Amizar menjelaskan, sistem tapisan yang ketat itu diharapkan bahawa penerima lot rumah STRF adalah individu yang layak dan tidak berlaku keciciran penerima.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sekretariat tersebut berperanan sebagai pusat sehenti bagi memudahkan segala urusan membabitkan warga FELDA di Pahang.
“Kami berharap Sekretariat Muafakat FELDA Pahang ini dapat memberikan manfaat bukan sahaja kepada para peneroka, tetapi juga seluruh warga FELDA, termasuk generasi baharu yang menetap di dalam atau di luar tanah rancangan.
“Bagi memastikan urusan lebih mudah, sekretariat akan melantik wakil dari setiap daerah bagi membantu warga FELDA berhubung terus dengan pihak pengurusan,” ujarnya.





