
KOTA KINABALU – Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) komited membantu sekolah terjejas banjir di beberapa daerah baru-baru ini dengan menyalurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepda setiap daripada lebih 32 sekolah yang terlibat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata, peruntukan itu diberi bagi membantu sekolah terlibat untuk menggantikan peralatan yang rosak.
“Hari ini saya sudah umumkan bahawa kita akan bantu semua sekolah yang terjejas banjir.
“Kita ada lebih 32 sekolah, semua ini kita bantu untuk mereka bergotong-royong termasuk menyediakan, mengganti peralatan yang rosak, kita bantu RM10,000 setiap sekolah,” katanya.
Jelas beliau, lebih 30 buah sekolah yang terjejas iaitu di Beaufort, Membakut, Keningau, Tenom termasuk satu di Sandakan.
Arifin yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan berkata, selain itu, TPNS juga meluluskan sebanyak 131 permohonan bantuan ‘one-off’ daripada anak-anak Sabah bermula daripada peringkat pra-universiti dan matrikulasi hingga ke Doktor Falsafah (PhD).
“Kita luluskan semua bantuan ‘one-off’ untuk membolehkan mereka dapat melaksanakan atau mengikuti pembelajaran mereka.
“Pada hari ini, kita luluskan lebih RM600,000 daripada TPNS untuk membantu seramai 131 pelajar bermula daripada peringkat matrikulasi sehingga ke PhD,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara Theta Telecoms Sdn Bhd dan SabahNet Sdn Bhd di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Khamis.
Sementara itu, mengulas mengenai Majlis Menandatangani Perjanjian antara SabahNet Sdn. Bhd dan Theta Telecoms Sdn. Bhd, Arifin berkata pihaknya menyambut baik perjanjian itu.
“Kita melaksanakan MOU antara Sabah Net, Sabah Net di bawah kementerian kita, bersama dengan Theta Telecoms yang berpengalaman, mudah-mudahan hubungan yang baik, dan kerjasama yang erat nanti antara dua ini akan membantu negeri Sabah dalam memperkasa kerajaan digital kita.
“Ini usaha kita untuk menjurus kepada apapun berasaskan digitalisasi,” ujarnya.
Tambah Arifin, kementeriannya akan terus memperkasa usaha seumpama ini khususnya usaha dalam memastikan keterhubungan digital di negeri Sabah dapat dijalankan dengan sempurna.
Justeru itu, beliau berharap perjanjian kerjasama tersebut dapat membawa kebaikan untuk Sabah dalam pendigitalan termasuk ekonomi digital sekali gus membantu pendidikan yang memerlukan prasarana atau jaringan yang baik untuk pelajar-pelajar.







