
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa siasatan terhadap dakwaan skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah masih diteruskan dan tidak pernah ditutup.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang meneliti bukti-bukti baharu yang diterima, termasuk video yang didakwa tidak disunting.
“Kita tidak pernah kata bahawa kita akan tutup kes, sebab itu saya memohon semua orang supaya bersabarlah.
“Saya pun nak cepatkan perkara ini diselesaikan namun kita kena ikut dasar undang-undang.
“Jadi apabila keluarnya yang dikatakan video tulen, begitu cepat kami memanggil peguam ini dan dia sekarang berada di pejabat, kita menerima keterangan berkenaan serta kita sedang merakam percakapan beliau.
“Kita merakam percakapannya kerana beliau menjadi saksi dan beliau menerima video berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara SPRM Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini, pada Selasa.

Katanya, SPRM juga akan merakam percakapan pemberi maklumat pada Rabu bagi memperhalusi lagi siasatan tersebut.
“Jadi, sudah tentu Albert Tei telah dibuat perjanjian, mungkin esok percakapannya akan dirakam bagi kami menghalusi lagi siasatan ini.
“Sudah tentu daripada itu, kita akan meneruskan siasatan ini berdasarkan bukti-bukti yang baru kita terima.
“Kita kena tengok sama ada keterangan yang diberikan kepada kita ini boleh diterima atau tidak.
“Jadi, tidak ada isu di mana kami cuba nak melambat-lambatkan atau cuba melindungi mana-mana pihak dalam kes ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azam berkata pihaknya juga akan membuat siasatan ke atas satu lagi video yang melibatkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya yang tersebar baru-baru ini.
“Kita akan siasat tetapi seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, video itu perlu dibuktikan ketulenannya,” ujarnya.
Beliau turut berkata, setiap bahan sama ada video atau audio yang mahu dijadikan bukti dalam sesuatu siasatan perlu bersifat tulen dan tidak disunting.
“Untuk makluman, video-video yang dikeluarkan oleh Malaysiakini sebelum ini, lapan semua sekali, bahawa semuanya telah disunting.
“Jadi, sebarang video yang disunting tidak menjadi satu bahan bukti kerana ini telah diputuskan oleh mahkamah dan disahkan oleh bahagian forensik kami di SPRM.
“Sebarang video ataupun audio yang telah diedit ataupun diubah suai dan sebagainya, pergilah ke mana-mana mahkamah yang saya tahu setakat ini, ia tidak akan menjadi satu bahan yang boleh diterima oleh mahkamah,” ujarnya.




