PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kedatangan tuan-tuan guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah Kelantan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pagi tadi.
Anwar berkata, pertemuan ini amat bermakna sekali gus membuka ruang pelbagai isu ummah terutama berkaitan perkembangan Islam.
Beliau turut berbesar hati menerima kunjungan tersebut dan menekankan kepentingan untuk memperkukuhkan dasar Islam dalam pendidikan serta inisiatif kerajaan bagi membina kekuatan dalaman umat Islam.
“Saya amat menghargai pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh para tuan guru, terutama dalam soal pendidikan turath serta cadangan untuk memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia.
“Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang, serta menghindari kebencian.
“Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Kehadiran rombongan merupakan jemputan peribadi beliau selepas mereka menghadiri majlis iftar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada Isnin.
Perdana Menteri berkata, mereka bersependapat dalam banyak perkara dan persamaan itu lebih besar daripada perbezaan.
Selain itu, Anwar juga menekankan tentang perkembangan komunikasi serta kerjasama kian erat dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
“Saya berharap pertemuan sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia menjadi wahana yang sangat bernilai dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara.
“Buah fikiran dan nasihat para tuan guru amat saya hargai, dan saya percaya ia terpancar dari keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya,” ujarnya.




