
BAGAN DATUK – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa BN tidak akan memilih calon ‘payung terjun’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang bakal berlangsung pada 26 April nanti.
Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, parti tersebut hanya akan memilih calon daripada senarai enam calon yang dikemukakan BN Negeri Perak sahaja.
Malah ujarnya, BN berkemungkinan akan mengumumkan calon PRK DUN Ayer Kuning seminggu lebih awal dari tarikh penamaan calon pada 12 April.
“Berkaitan calon payung terjun, kita tidak yakin ianya dapat membantu. Kali ini kita akan pilih calon yang memahami citarasa pengundi-pengundi Ayer Kuning mengikut komposisi kaum di sana.
“Semestinya kita mahu calon yang dapat memberi kesinambungan perkhidmatan yang diberikan oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin.
“Saya juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar (MB) Perak selaku Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkaitan perkara untuk mengumumkan nama calon lebih awal sebelum hari penamaan calon.
“Insya-Allah kita akan umumkan secara rasmi mungkin seminggu awal,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir ke Program Ihya’ Ramadan Al-Mubarak Tahun 1446 Hijrah di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, ujar beliau, individu yang bakal dipilih bagi mempertahankan kerusi Ayer Kuning merupakan calon yang terdiri daripada kepimpinan UMNO Bahagian Tapah sendiri.
“Saya menghormati senarai nama yang dikemukan oleh UMNO Bahagian dan pimpinan negeri.
“Saya juga harapkan calon ini memenuhi kriteria pengundi Ayer Kuning dan Tapah amnya supaya kita dapat mengulangi kejayaan di beberapa siri PRK sebelum ini,”ujar beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59,yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah selepas rebah akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Susulan kekosongan kerusi N48 itu, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam Shahruddin yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi dengan memperolehi 9,908 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru.







