Keperluan Lembaga Ruminan Negara ditubuh segera, pastikan produktiviti industri hiliran negara terjamin

PUTRAJAYA – Sudah tiba masanya kerajaan mempunyai pendekatan baharu dalam memperkasa penternakan ruminan di Malaysia dengan memastikan bekalan sentiasa mencukupi di seluruh negara bagi kegunaan tempatan, selain mengeksport ke negara lain dalam memenuhi industri hiliran jika memiliki produk berlebihan.

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Dr Ahmad Ismail berkata, idea penubuhan Lembaga Ruminan Negara (LRN) yang dicetuskan sejak 2014 perlu segera dilaksana, berikutan mampu memberi penekanan kepada pembangunan industri tenusu serta pedaging secara menyeluruh, merangkumi aspek perancangan, penyelarasan, khidmat nasihat dan keperluan pemasaran.

“Penubuhan lembaga itu dikatakan boleh melonjakkan lagi industri penternakan, di samping Jabatan Perkhidmatan Veterinar mampu beri tumpuan kepada peraturan penternakan, jaminan kualiti, kawalan penyakit ternakan dan jangkitan kepada manusia.

“Selain itu, penguatkuasaan undang-undang berkaitan yang telah ditetapkan boleh diambil dalam memperkasa industri ruminan. Tindakan terbabit menunjukkan suatu langkah yang baik bagi menjamin industri ruminan negara dan perlu disegerakan,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Penubuhan LRN telah dimulakan sejak 2014 dan ketika ini, cadangan terbabit masih di peringkat penelitian secara terperinci serta diperhalusi oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam memastikan entiti itu berdaya tahan dalam mengatasi pelbagai isu dihadapi industri ruminan.

Pasukan interim berkaitan sudah diwujudkan bagi merangka hala tuju serta kaedah pengoperasian, menyelaras dan memperkemaskan jaringan industri melalui libat urus, perundingan dan advokasi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya menjalankan kajian dalam tempoh tujuh bulan dan ia dijangka berakhir pada pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, Ahmad berpandangan, penubuhan entiti terbabit juga dapat mengatasi ‘kekuasaan’ kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya.

Jelasnya, keraguan status halal daging import telah mempengaruhi harga daging, khususnya aktiviti korban sehingga menyebabkan harga lembu, kerbau dan kambing mengalami peningkatan harga yang tinggi.

“Berdasarkan laporan Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 2023, dianggarkan bilangan lembu dan kerbau tempatan sebanyak 39, 857 ekor manakala kambing serta biri-biri sebanyak 29,988 ekor melebihi permintaan pada 2015 sebanyak 15,000 ekor ternakan ruminan besar dan kira-kira 10,000 ekor ternakan ruminan kecil disembelih di seluruh negara untuk tujuan ibadat korban.

“Pada masa sama, Malaysia diakui tidak berupaya untuk mencapai Kadar Sara Diri (SSL) bagi bekalan daging tempatan pada 2021, dan terpaksa terus bergantung kepada import. Kerajaan meletakkan sasaran SSL, 50 peratus bagi daging manakala 100 peratus bagi susu segar menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berpandangan, jabatan berkaitan industri penternakan perlu diperkasa agar cekap dalam urusan keterjaminan bekalan ayam, telur dan daging negara, selari dengan kecekapan pentadbiran dimiliki jabatan pertanian dan perikanan bagi memastikan kelestarian produk hiliran.

Katanya, kajian segera perlu dilaksana oleh golongan pakar di samping pandangan setiap pemegang taruh bagi memastikan keterjaminan makanan dapat diperkasa dalam era pasca normal yang penuh ketidaktentuan ketika ini.

“Kenyataan kerajaan dalam memberikan keyakinan kepada rakyat setiap kali musim perayaan selalunya melalui jaminan jabatan kerajaan terlibat seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), yang memastikan bekalan mencukupi di seluruh negara dan bertindak segera bagi memenuhi keperluan semasa termasuk mengimport bekalan diperlukan.

“Pengurusan agihan ayam, telur dan daging dalam negara mesti diuruskan dengan baik oleh agensi tertentu. Misalnya, ada negeri yang berlebihan dapat menampung negeri lain tidak mencukupi. Pada 2022 misalnya, Perak hasilkan produk telur dan ayam itik berlebihan dengan 372,825 tan metrik daging, ayam dan itik, dan 2,081 bilion biji telur ayam,” katanya.

Related Posts

Malaysia terus jadi negara Islam contoh

BUKIT MERTAJAM – Malaysia terus diiktiraf pada peringkat antarabangsa sebagai antara negara Islam contoh dalam pengurusan hal ehwal Islam hasil kejayaan pelbagai institusi dan dasar yang dibangunkan secara tersusun, kata…

Lebih lanjut

teruskan membaca
‘Dengan izin Allah, akhirnya dapat jumpa Anwar’, mak cik Anipah menangis impian tercapai

BATU PAHAT – Impian yang disimpan sejak 1998 untuk bertemu Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menjadi kenyataan buat seorang warga emas yang mengakui mengalirkan air mata sebaik sahaja bersua bersama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Norway hantar Brazil balik hasil 2 gol Haaland

Norway hantar Brazil balik hasil 2 gol Haaland

Demi undi Melayu, Onn Hafiz sanggup tunggang naratif tidak mahu duduk semeja dengan DAP

Demi undi Melayu, Onn Hafiz sanggup tunggang naratif tidak mahu duduk semeja dengan DAP

Anak perantau Johor diseru balik mengundi – PMX

Anak perantau Johor diseru balik mengundi – PMX

PRN Johor dilihat laluan BN mahu kembali berkuasa

PRN Johor dilihat laluan BN mahu kembali berkuasa

Pas hilang cita-cita jadi kerajaan, fokus jadi pembangkang tunjuk kemerosotan politik – Suhaizan

Pas hilang cita-cita jadi kerajaan, fokus jadi pembangkang tunjuk kemerosotan politik – Suhaizan

Sambutan pengundi DUN Larkin positif, Suhaizan seru keluar mengundi awal

Sambutan pengundi DUN Larkin positif, Suhaizan seru keluar mengundi awal