
PUTRAJAYA – Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa draf Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dibahas dan diluluskan pada Sidang Dewan Rakyat kali ini adalah berbeza dengan apa yang dibawa kerajaan sebelum ini.
Fahmi berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri oleh Datuk Seri Azalina Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang bertanggungjawab menguruskannya.
“Sukacita saya maklumkan setelah kita buat semakan draf yang dibawa oleh Tan Sri Azhar Azizan Harun (mantan speaker Dewan Rakyat) pada waktu itu berbeza daripada draf yang telah dibawa ke Parlimen sekarang ini.
“Ini yang dimaklumkan oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman semasa mesyuarat jemaah menteri,” ujarnya pada Sidang Media Pasca Kabinet pada Jumaat.
Sebelum ini, Ketua Pembangkang mendakwa bahawa cadangan RUU tersebut mendapat bantahan daripada kakitangan Parlimen dan menganggap rancangan kerajaan membentangkan RUU tersebut boleh menyebabkan negara lingkup kerana ia tidak seperti yang diuar-uarkan oleh Azalina.
Terdahulu, Azalina berkata, usaha pindaan Perlembagaan Persekutuan dan penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bagi memartabatkan institusi Parlimen dianggap sebagai langkah utama dalam memperkenalkan reformasi institusi yang komprehensif.
Melalui agenda reformasi institusi yang direncanakan kerajaan Madani itu, katanya, Perkhidmatan Parlimen akan mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia.
Secara tidak langsung, menurut Azalina, maksud ‘separation of powers’ dalam konteks bidang kehakiman, eksekutif dan legislatif akan dapat ditafsirkan dengan lebih bebas.
RUU Perlembagaan (Pindaan 2025) dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Isnin lalu, dan bacaan kali kedua dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Mac ini.




