
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah tidak mengabaikan usaha untuk memperkasakan
golongan wanita yang terbabit dalam perniagaan kecil dan sederhana.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri amat prihatin dan sentiasa memastikan golongan wanita mendapat peluang dan faedah yang sama rata di negeri ini.
“Pelbagai peluang dan program telah disediakan dan akan dilaksanakan untuk
manfaat usahawan, bukan hanya golongan muda tetapi juga individu lain yang ingin menceburi bidang keusahawanan.
“Contoh, Program Pembangunan Usahawan Belia (SYABAS) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Negeri telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 belia dalam pelbagai perusahaan di seluruh negeri.
“Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) akan
melaksanakan pelbagai program untuk membantu Perusahaan Micro, Kecil dan Sederhana di Sabah, seperti program SME-Up, pemasaran dan promosi produk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta kursus pembangunan usahawan tahun ini di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda
di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis.
Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Tambahnya, kira-kira seramai 200 usahawan wanita muda Sabah bakal menerima manfaat daripada program yang dikenali sebagai Daya Upaya Peluang Usahanita (DAYANG).
Jelas Hajiji program tersebut adalah termasuk dalam Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda yang merupakan satu lagi inisiatif utama dalam Belanjawan Negeri Sabah 2025 untuk membantu usahawan wanita muda di negeri itu.
Menurutnya, program ini bukan sekadar menyediakan modal, merangkumi sokongan
menyeluruh melalui bimbingan dan latihan yang melibatkan sesi mentoring oleh pakar industri
serta pendedahan kepada strategi pemasaran yang lebih efektif bagi memastikan kejayaan
mereka dalam jangka masa panjang.
“Realitinya usahawan wanita sering berhadapan dengan cabaran utama seperti kekangan modal, kekurangan akses kepada teknologi, pasaran dan rangkaian sokongan yang diperlukan untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan mereka.
“Cabaran ini bukan sahaja menghadkan peluang mereka untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti, malah turut menghalang potensi mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Hajiji berharap Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda yang dianjurkan bersama oleh
Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) akan
menjadi pencetus semangat kepada usahawan wanita muda untuk terus berjaya dalam
perniagaan masing-masing.






