PUTRAJAYA – Tingkah laku rasis, kenyataan diskriminasi dan retorik yang memecahbelahkan, tidak sepatutnya ada dalam masyarakat kita, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Gobind dalam satu kenyataan berkata tindakan sedemikian, bukan sahaja menyakitkan hati tetapi juga merosakkan keharmonian kaum.
“Insiden seperti kes melibatkan seorang peniaga gerai menggunakan istilah menghina komuniti India perlu ditangani dengan segera.
“Pada masa yang sama, saya menyeru pemimpin masyarakat dan agama, serta semua rakyat Malaysia, untuk secara aktif mempromosikan keterangkuman dan saling menghormati.
“Kita mesti bekerjasama untuk membina sebuah masyarakat dengan setiap individu dilayan dengan bermaruah, tanpa mengira kaum, etnik, atau agama,” kata Gobind yang juga Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad kesal dengan tindakan berunsur perkauman yang berlaku di sebuah gerai menjual jagung bakar di Kota Warisan, Sepang.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, tindakan sedemikian tidak mencerminkan nilai kemanusiaan dan perpaduan yang dipegang majoriti rakyat di negara ini.
“Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum, agama, dan budaya. Setiap individu berhak dilayan dengan rasa hormat tanpa sebarang diskriminasi.
“Melabel sesuatu kaum dengan istilah yang bersifat menghina tidak sepatutnya berlaku. Setiap kata-kata yang kita gunakan mencerminkan nilai diri dan masyarakat kita.
“Apa yang berlaku tidak menggambarkan sesuatu kaum. Selalunya, ada sebilangan kecil sahaja yang bersikap ekstrem dan rasis.
“Jangan biarkan perbuatan segelintir individu merosakkan hubungan baik antara kaum yang telah terjalin sekian lama,” katanya.




