
INDAH khabar daripada rupa, itulah yang dapat digambarkan kepada empat Menteri Besar di negeri yang dikuasai pembangkang.
Pom pang, pom pang gembar-gembur gegak-gempita seluruh alam sebelum ini rupanya hanya menghasilkan habuk semata-mata.
Hakikatnya pembangkang seperti tidak tahu mentadbir di empat negeri yang dikuasai mereka.
Ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, pelbagai janji manis ditabur kepada rakyat, namun kini rakyat mula sedar bahawa mereka telah ditipu hidup-hidup kerana janji itu merupakan retorik politik Perikatan Nasional (PN) semata-mata.
Gagasan The Greatest Kedah, ilham Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seakan menjadi mitos atau dongeng di negeri jelapang padi ketika ini.
Rata-rata rakyat di Kedah mula muak dan tertanya-tanya apakah kejayaan yang telah dibawa oleh Sanusi untuk Kedah?
Litar pemotoran untuk anak muda di Sungai Petani masih belum menjadi kenyataan, loji air di Kedah terbantut pembinaannya, pelabur asing membatalkan hasrat melabur di Langkawi dan banyak lagi janji dicapati oleh Sanusi untuk rakyat Kedah.
Maka, tidak hairanlah pada 12 Februari lalu, hasil tinjauan StarBiz menggunakan chatbot kecerdasan buatan (AI) China, DeepSeek, Sanusi memperolehi 6 daripada 10 markah penuh.
Ironinya, rating yang diperolehi Sanusi itu merupakan yang paling tinggi dalam kalangan empat Menteri Besar pembangkang.
Selain Sanusi, DeepSeek memberi markah lima kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Sementara itu DeepSeek memberi markah tiga sahaja kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassruddin Daud.
Tidak ada apa yang boleh dibanggakan oleh empat negeri yang ditadbir Pas yang dilihat gagal menguruskan ekonomi negeri masing-masing.
Bagaimanapun Sanusi sedikit bertuah antara tiga Menteri Besar ini kerana pelabur-pelabur asing telah menjadikan Kulim sebagai destinasi pelabur yang merupakan hasil tangan kerajaan terdahulu.
Dr Samsuri walaupun mentadbir Terengganu antara negeri terkaya di Malaysia, namun beliau gagal membangunkan ekonomi negeri itu dengan lebih pesat.
Dr Samsuri yang menjadi kebanggaan Pas, malah dikatakan calon Perdana Menteri PN seperti tiada idea untuk membangunkan Terengganu meski telah memegang tampuk pemerintahan kerajaan negeri selama tujuh tahun.
Statistik prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) terbaharu yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan Terengganu dalam kedudukan tercorot ekonominya berbanding negeri jiran.
Manakala keupayaan Mohd Syukri mentadbir Perlis boleh dimaafkan lantaran faktor geografi Perlis yang merupakan negeri terkecil sekali gus membatasi peluang menjana pendapatan yang banyak untuk negeri itu.
Namun sukar untuk memaafkan Pas yang telah menguasai Kelantan sejak tahun 1990, Kerajaan Negeri yang ada kini juga dilihat seperti tiada perancangan jangka masa panjang.
Kelantan jauh ketinggalan dari segi infrastruktur pembangunan seperti kemudahan jaringan lebuh raya, bekalan air bersih selain kurangnya peluang pekerjaan untuk rakyat sendiri.
Kerajaan Pas di Kelantan lebih selesa mengukuhkan kedudukan parti itu berbanding mengukuhkan ekonomi negeri itu.
Jadi tidak hairanlah, politik Pas di Kelantan mahu pun di negeri-negeri yang dikuasai mereka saban waktu mengutuk dan mengeji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, DeepSeek memberi markah lapan daripada 10 kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Rata-rata Ketua Kerajaan Negeri yang ditadbir Kerajaan Perpaduan diberi markah tujuh oleh DeepSeek membabitkan Perak, Johor, Pahang dan Sarawak.
Pendek kata, rakyat boleh menilai siapa pemimpin dan parti mana yang bekerja bersungguh-sungguh membela nasib mereka sekali gus memakmurkan negeri.
Panjang kata, rakyat boleh menilai sifat tabii pembangkang di keempat-empat negeri yang dikuasai yang konsepnya lebih selesa membiar rakyat dan negeri mundur asalkan parti terus kukuh.
Jadi siapa yang rugi? Mereka dan keluarga mereka.




