
PUTRAJAYA – Penggantian aset strategik keselamatan negara yang usang antara justifikasi utama terhadap keputusan kerajaan membelanjakan RM16 bilion untuk melaksana sewaan helikopter bagi kegunaan pelbagai agensi dan jabatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, aset helikopter sedia ada milik kerajaan rata-rata berusia di antara 12 hingga 32 tahun, selain digunakan untuk pelbagai jenis peranan dan tugas strategik seperti, search and rescue, medical ambulance, kawalan keselamatan, logistik, misi-misi kemanusiaan serta ketenteraan.
Menurutnya, keperluan perkhidmatan itu semakin meningkat menyebabkan aset-aset sedia ada digunakan secara berlebihan walaupun telah usang yang mewujudkan peningkatan risiko keselamatan kru pesawat.
“Tambahan pula, penyahtauliahan (decommissioning) pesawat Sikorsky S-61A-4 atau lebih dikenali sebagai Nuri oleh Angkatan Tentera Malaysia pada tahun 2020 telah mewujudkan satu jurang (gap) dari segi bilangan helikopter fleet ATM dan menambah kepada beban penugasan helikopter-helikopter sedia ada.
“Pada masa sama, (perbelanjaan RM16 bilion) untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan fleet helikopter sedia ada. Merujuk kajian bertajuk Aircraft Acquisition Conceptual Framework yang dibuat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan telah diterbitkan dalam jurnal Asian Social Science, Volume 13 Nombor 4 pada tahun 2017, tahap kesiapsiagaan pesawat TUDM di antara tahun 2011 dan 2015 hanya berada pada tahap 43% berbanding keperluan 70 peratus minimum yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) di Dewan Rakyat yang meminta kerajaan menyatakan justifikasi perbelanjaan anggaran RM16 bilion untuk sewaan helikopter berbanding kos RM9.8 bilion untuk menyiapkan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3).
Dalam pada itu, Azalina berkata, perbelanjaan RM16 billion itu juga diguna bagi mengurangkan beban fisikal kerajaan susulan di antara 2020 hingga 2024, sebanyak lima insiden kejatuhan helikopter milik Kerajaan Malaysia memberi impak yang besar khususnya kepada tanggungan kewangan Kerajaan.
“Ini kerana aset-aset ini terpaksa dihapus kira. Perbelanjaan modal (capex) untuk menggantikan aset-aset ini secara konvensional akan membebankan fiskal Negara. Di bawah inisiatif pajakan helikopter ini, Kerajaan dapat mengoptimumkan perbelanjaan dengan mengagihkan beban kos secara lebih mampan sepanjang tempoh 15 tahun.
“(Selain itu), ia bagi menerima perkhidmatan yang merangkumi penyelenggaraan, perlindungan insurans dan latihan untuk seramai lebih daripada 1,300 anggota di sepanjang tempoh konsesi serta dijamin tahap ketersediaan fleet pesawat untuk kesemua agensi pengguna ke tahap minima 85 peratus, selain diberi pilihan untuk membeli pesawat pada harga nominal RM1.00 pada setiap pesawat pada akhir tempoh konsesi,” katanya.
Bagi projek LPT3, Azalina berkata, penelitian antara kerajaan persekutuan bersama Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu masih dalam proses perbincangan, seperti aspek jajaran dan pendekatan pembangunan yang akan dilaksanakan bagi memastikan projek itu memberi value for money, dengan izin dan manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, jika projek berkenaan dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam dan swasta secara user-pay ianya berupaya mengurangkan beban fiskal Kerajaan.
“Kerajaan sentiasa komited untuk melengkapkan dan menaiktaraf jaringan jalan raya di seluruh negara khususnya di kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia dengan hasrat menyuraikan trafik dan mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim cuti dan perayaan. Usaha ini adalah untuk memastikan tahap keselesaan pengguna jalan raya dan seterusnya memelihara kesejahteraan rakyat.
“Sementara perkara ini diperhalusi, rakyat yang ingin ke kawasan Pantai Timur khususnya ke negeri Kelantan masih boleh menggunakan rangkaian jalan sedia ada seperti Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang dahulunya dikenali sebagai Central Spine Road yang menghubungkan Lebuhraya Pantai Timur di Bentong ke Kelantan yang bernilai RM7.7 bilion.
“Mengambil kira kepentingan kedua-dua projek ini kepada negara, Kerajaan telah membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan tahap kesediaan (readiness) dan kompleksiti sesuatu projek dan bukannya berpandukan kepada kos projek semata-mata,” katanya.



