
KOTA KINABALU – Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan lima kes keracunan makanan akibat toksin ikan buntal.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS) Sabah, Dr Maria Sulaiman berkata, daripada kes itu, satu kes berlaku di Kota Kinabalu manakala empat sekeluarga berlaku di Kota Marudu.
Beliau berkata, kesemua kes yang berlaku di Kota Kinabalu dilaporkan pada 10 Januari dan di Kota Marudu pada 24 Januari 2025.
“Semua kes yang melibatkan individu berumur 15 hingga 48 tahun menunjukkan gejala seperti pening, muntah, cirit-birit, kebas pada tangan dan kaki, serta kesukaran bernafas selepas makan ikan buntal yang dibeli dari pasar tempatan dan dimasak sendiri.
“JKNS telah mengambil langkah segera dalam menangani situasi ini termasuk memberikan pendidikan kesihatan kepada individu terlibat dan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, ikan buntal mengandungi tetrodotoksin (TTX) iaitu toksin saraf berbahaya yang juga terdapat dalam beberapa spesies laut lain seperti belangkas dan siput laut.
Menurutnya, TTX tidak dapat dikesan melalui perubahan warna, bau atau bentuk makanan, menjadikannya sukar untuk dikenali.
“Individu yang terdedah kepada makanan tercemar TTX boleh mengalami gejala dalam tempoh 10 hingga 45 minit termasuk kebas, sakit kepala, muntah, cirit-birit dan kelumpuhan otot.
“Sekiranya kes terlalu teruk ia boleh menyebabkan kematian dalam tempoh enam hingga 24 jam.
Sehubungan itu, JKNS menasihati orang ramai agar mengelakkan pengambilan ikan buntal atau makanan lain yang disyaki mengandungi TTX dan menasihati orang ramai jika mengalami gejala segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan.
“Maklumat lanjut mengenai bahaya TTX dan langkah pencegahan boleh diperoleh melalui laman web atau media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“JKNS akan terus memantau situasi ini dan mengeluarkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” ujarnya







