DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan perniagaan bersemuka dengan beberapa syarikat terkemuka ketika lawatan beliau ke United Kingdom (UK).
Antara mesyuarat itu adalah dengan Standard Chartered Bank (SCB) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bill Winters.
Menurut pegawai Malaysia, SCB sedang meneroka kemungkinan untuk kerjasama dengan kerajaan Malaysia dan Singapura bagi memudahkan kemasukan perniagaan global ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Selain itu, Anwar turut bertemu dengan pegawai daripada Jaguar Land Rover (JLR), Raw Energy dan Yondr yang mempunyai projek sedang dibangunkan di Taman Teknologi Sedenak di Johor.
Turut hadir pada pertemuan berkenaan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri di UK yang disertai 53 pemain industri terkemuka daripada 30 syarikat dan organisasi.
Antaranya termasuklah Airbus UK, GKN Aerospace, British Malaysian Chamber of Commerce, Shell dan BAE System.
Lancar ladang solar TNB, lawat Battersea Power Station
Dalam perkembangan berasingan, Anwar turut melancarkan ladang solar berkapasiti 102 megawatt (MW) Eastfield dan Bunkers Hill di United Kingdom (UK).
Ladang solar itu diuruskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mempunyai portfolio kasar RE (terutamanya dari aset penjanaan tenaga solar dan angin) berjumlah 1.3 gigawatt (GW) dalam operasi dan pembangunan di seluruh UK dan Ireland, serta 3.2 GW di Semenanjung Malaysia (termasuk 2.5 GW hidro besar).
Bunkers Hill di Rotherwick (66.7 megawatt puncak (MWp) dan Eastfield di Harbury (35 MWp) itu adalagh ladang solar canggih dan inovatif.
Kedua-dua ladang solar itu dengan gabungan kapasiti 102 MW menonjolkan kepakaran Malaysia dalam memacu penyelesaian tenaga lestari di seluruh dunia.
Ladang solar dengan gabungan kapasiti 102 MW itu disasar mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada awal tahun ini.
![]()
Projek itu disokong skim Kontrak-bagi-Perbezaan (CfD) 15 tahun yang diperoleh pada Julai 2022 itu akan memastikan kestabilan hasil melalui penetapan harga tetap untuk penjanaan RE sambil melindungi pelabur daripada turun naik pasaran.
Pada masa ini TNB memiliki, membangun, dan mengendalikan aset RE di seluruh UK dan Ireland, termasuk projek solar darat, tenaga angin luar pesisir dan bateri.
Anwar bersama delegasi yang sedang dalam rangka lawatan kerja selama lima hari di UK, turut meluangkan masa melawat Battersea Power Station.
Battersea Power Station dimiliki konsortium syarikat-syarikat Malaysia terdiri daripada Permodalan Nasional Bhd (PNB), Sime Darby Property, SP Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Anwar berkata, ketersediaan segala infra di sini mampu menarik dan mengembangkan pulangan pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) ini ke tahap lebih tinggi di masa hadapan.




