BIDOR – Berlaku kesesakan trafik sejauh tiga kilometer akibat jalan dilimpahi minyak sawit mentah selepas treler yang membawa muatan tersebut dilanggar oleh sebuah lori di KM348.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Selatan, dekat sini, tengah hari Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 12.52 tengah hari.
Ujarnya, sejurus menerima panggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Tumpahan minyak itu berlaku dari sebuah treler yang membawa muatan minyak sawit mentah 45 tan metrik.
“Kebocoran itu berlaku akibat treler berkenaan dilanggar oleh sebuah lori lain.
“Bagaimanapun, tiada mangsa yang mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Sabarodzi, kerja-kerja pembersihan sedang giat dijalankan di lokasi tumpahan minyak tersebut.

Difahamkan juga, aliran trafik bergerak perlahan dan sesak sepanjang tiga kilometer.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan menerusi platform Facebook memaklumkan lorong kanan serta kiri terhalang susulan kemalangan itu.
“Terdapat kemalangan di KM348.2 arah Selatan dari Bidor ke Sungkai. Sila patuhi arahan petugas di lokasi. Segala kesulitan yang dialami ketika ini amat dikesali,” tulis kenyataan itu.







