
PUTRAJAYA – Pelaburan besar dari Abu Dhabi telah ‘mencuri’ tumpuan dunia kerana pencapaian itu mempamerkan kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memacu diplomasi ekonomi negara.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, pendekatan Anwar yang strategik, mengutamakan fakta kukuh, ketelusan, dan hubungan rapat dengan negara-negara Timur Tengah telah membina kepercayaan pelabur antarabangsa.
“Kepimpinan Perdana Menteri memainkan peranan yang sangat penting dalam menarik perhatian Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) untuk melabur di Malaysia dan ini telah membuka peluang bagi aliran modal asing yang amat diperlukan untuk merangsang ekonomi domestik.
“Kejayaan Anwar menyakinkan institusi pelaburan antarabangsa yang berprestij itu, mencerminkan keyakinan global terhadap kestabilan politik dan prospek ekonomi Malaysia,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Terdahulu, ADIA yang memiliki dana kekayaan terbesar di dunia dengan aset dianggarkan melebihi AS$1 trilion menunjukkan minat mendalam untuk terus mempertingkat pelaburannya di Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ADIA dikenali sebagai pelabur global berimpak tinggi dan mempunyai peranan penting dalam sektor infrastruktur, kesihatan dan tenaga.
Sebelum ini, Tengku Zafrul bersama Perdana Menteri berpeluang bertemu dengan kepimpinan tertinggi ADIA iaitu Pengarah Urusan ADIA, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan serta barisan kepimpinan lain seperti Khalil Foulathi dan Mohamed Al Ameri.
Pertemuan itu secara tidak langsung membuka ruang memperkukuh kerjasama pelaburan strategik antara Malaysia dan UAE.
Mengulas lanjut, Nur Ashikin memaklumkan pelaburan dari ADIA dijangka mengukuhkan nilai mata wang negara, mengurangkan defisit akaun semasa dan memberi ruang bagi Malaysia untuk meningkatkan daya saing global.
Menurutnya, dana dari pelabur yang terkenal itu dapat mempercepatkan pembangunan sektor-sektor strategik seperti logistik, pengangkutan, dan tenaga hijau, selain memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi negara.
“Melalui projek yang dijalankan bersama ADIA, Malaysia berpeluang untuk meningkatkan tahap inovasi serta memperluaskan kapasiti tenaga kerja tempatan.Namun, bagi memastikan manfaat ini tercapai, kerajaan perlu menguruskan pelaburan ini dengan teliti.
“Tanpa pengawalan baik, pelaburan itu berpotensi membawa kesan negatif seperti ketidakseimbangan ekonomi, monopoli asing, dan pengagihan hasil yang tidak adil. Untuk itu, dasar jelas dan telus perlu diwujudkan agar Malaysia tidak terlalu bergantung pada entiti asing yang boleh mempengaruhi ekonomi domestik,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berpandangan perkembangan positif itu juga menunjukkan hubungan diplomatik Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah semakin erat yang mencipta peluang kepada negara memperluaskan hubungan dua hala dalam sektor perdagangan, teknologi dan juga pendidikan.
Bagaimanapun, jelasnya, keperluan untuk Malaysia berhati-hati agar tidak terlalu bergantung kepada mana-mana negara atau blok kuasa tertentu, susulan mampu menimbulkan kebergantungan terhadap pelaburan asing yang mampu mempengaruhi dasar serta mencabar ketahanan ekonomi negara.
“Pelaburan besar-besaran dari ADIA membawa implikasi yang signifikan terhadap kedaulatan ekonomi Malaysia. Ketergantungan terhadap entiti asing dalam sektor-sektor kritikal seperti tenaga dan infrastruktur boleh membuka ruang bagi pengaruh luar yang tidak diingini.
“Ia berisiko menggugat kedaulatan negara. Oleh itu, kerajaan perlu memastikan setiap rundingan pelaburan dilakukan dengan ketelusan sepenuhnya, bagi memastikan kepentingan strategik negara tidak tergadai,” katanya.
Pada masa sama, Nur Ashikin berkata, wujud keperluan buat kerajaan memastikan mekanisme penguatkuasaan dan kawal selia yang ketat bagi menghalang penguasaan asing dalam sektor utama, berikutan ia berpotensi menjejaskan kestabilan ekonomi dan sosial negara.
“Selain aspek ekonomi dan keselamatan, implikasi sosial pelaburan ADIA juga perlu diberi perhatian serius. Dalam keadaan pengagihan hasil yang tidak telus, ketidakpuasan hati rakyat boleh tercetus.
“Oleh itu, adalah penting untuk kerajaan memastikan bahawa projek dibiayai oleh pelaburan itu memberikan manfaat menyeluruh kepada seluruh lapisan masyarakat, selain dijadikan sebagai alat dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, bukan beri keuntungan hanya golongan tertentu sahaja,” katanya.




