Jangan lepaskan peluang, mohon baucar subsidi tiket penerbangan Flysiswa anda sekarang!

Oleh: Husna Irdina (Pelatih UPM)

ADALAH dimaklumkan bahawa kadar subsidi tiket penerbangan menerusi Flysiswa untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dinaikkan kepada RM400 daripada RM300 diperuntukkan sebelum ini, berkuatkuasa mulai 1 Januari 2025.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam Karnival Pengangkutan Siswa MADANI di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Disember lalu.

Apa itu Flysiswa?

Flysiswa merupakan satu program yang memberikan potongan harga bagi pembelian tiket penerbangan domestik kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang layak, iaitu mereka yang menuntut di universiti awam, politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

Subsidi ini diberikan untuk memudahkan perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Sambungan pemberian subsidi tiket penerbangan untuk tahun 2025 ini adalah hasil pertimbangan Kementerian Pengangkutan bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat-syarikat penerbangan terhadap keperluan sokongan kewangan bagi pelajar IPT yang ingin pulang ke kampung halaman pada musim perayaan dan cuti semester.

Bukan itu sahaja, program Flysiswa ini juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyokong pendidikan anak-anak pelajar tempatan.

Manfaat Pelaksanaan Subsidi Tiket Penerbangan

Menurut laporan wartawan Awani, subsidi tiket penerbangan RM300 yang dilaksanakan pada tahun 2023 telah membantu seramai 74,500 orang pelajar, bersamaan 73 peratus daripada keseluruhan 102,150 pelajar yang layak membuat pembelian tiket penerbangan pada harga yang rendah.

Statistik tersebut meliputi 75 peratus daripada 50,095 pelajar pada tahun itu dan 36,949 pelajar telah menebus baucar masing-masing dengan syarikat–syarikat penerbangan negara yang dipilih.

Bagi tahun 2025 pula, pelaksanaan subsidi tiket penerbangan ini dianggarkan dapat memanfaatkan 74,500 pelajar dari universiti awam, politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG), dan matrikulasi di seluruh negara.

Inisiatif ini diharap dapat meringankan beban 60,000 pelajar yang menggunakan penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Syarat Kelayakan Permohonan Flysiswa 2025

Syarat permohonan subsidi tiket penerbangan ini adalah seperti yang berikut:

  1. Pelajar merupakan warganegara yang sedang mengikuti pengajian dan berdaftar di universiti awam, politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG), kolej komuniti, kolej matrikulasi dan institusi di bawah KPM atau KPT sehingga 31 Disember 2024.
  2. Lokasi tempat tinggal dan pengajian:
    • Pelajar yang berasal dari Sabah, Sarawak, atau Labuan yang menuntut di Semenanjung.
    • Pelajar yang berasal dari Semenanjung yang menuntut di Sabah, Sarawak, atau Labuan.
    • Pelajar yang berasal dari Sabah, Sarawak, atau Labuan yang menuntut di mana-mana negeri tersebut (Sabah/Sarawak/Labuan).
  3. Subsidi ini hanya sah bagi tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal (Semenanjung/Sabah/Sarawak/Labuan) dan tempat pelajar sedang menyambung pengajian (Semenanjung/Sabah/Sarawak/Labuan).
  4. Subsidi ini juga hanya sah untuk pembelian tiket penerbangan Malaysia Aviation Group (Malaysia Airlines/MASwings/Firefly), AirAsia, Batik Air, dan MYAirline.

Tempoh Permohonan & Penebusan Baucar

Tempoh permohonan baucar subsidi untuk pembelian tiket penerbangan domestik adalah bermula dari 1 Januari 2025 sehingga 30 November 2025.

Manakala, tarikh akhir penebusan baucar adalah pada 31 Disember 2025.

Fasa Permohonan Bantuan Flysiswa 2025

Berikut merupakan fasa permohonan yang anda perlu tahu jika anda ingin memohon bantuan subsidi penerbangan ini:

  • Fasa 1: Mulai 1 Januari 2025
    • Pelajar sedia ada dan baharu yang berdaftar dengan kolej/universiti masing-masing sehingga 30 September 2024.
  • Fasa 2: Mulai 1 April 2025
    • Pelajar baharu yang mendaftar dengan kolej/universiti masing-masing antara 1 Oktober sehingga 31 Disember 2024
  • Fasa 3: Mulai 1 Julai 2025
    • Pelajar baharu yang berdaftar di kolej/universiti masing-masing antara 1 Januari sehingga 31 Mac 2025.

Kaedah Penebusan Baucar

Penebusan baucar boleh dibuat melalui kaedah berikut:

  1. Membuat semakan kelayakan melalui portal rasmi Kementerian Pengangkutan yang akan dimaklumkan nanti. Sekiranya pelajar tidak layak, pelajar boleh membuat rayuan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi melalui universiti masing-masing.
  2. Membuat permohonan subsidi tiket penerbangan di laman seswang syarikat penerbangan yang dipilih.
  3. Setelah menerima permohonan, pihak syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar digital bernilai RM 400 kepada pemohon sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan.
  4. Sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM 400, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell untuk digunakan bagi pembelian tiket penerbangan yang seterusnya; dan
  5. Menggunakan baucar untuk membeli tiket penerbangan bagi laluan-laluan yang dibenarkan.

Tatacara Semakan Kelayakan Permohonan

Untuk menyemak kelayakan anda, sila ikuti langkah-langkah berikut:

  1. Layari laman web https://subsidiudara.mot.gov.my/
  2. Isi no MyKad dan nama universiti anda
  3. Klik butang “Semak”
  4. Status semakan sama ada:
  • Layak: Mohon baucar digital melalui laman web syarikat penerbangan yang dipilih.
  • Tidak layak: Pelajar boleh membuat rayuan kepada KPT melalui universiti masing-masing.

Rayuan Flysiswa 2025

Bagi pelajar IPT yang tidak kayak memohon, anda boleh membuat permohonan rayuan bantuan subsidi tiket penerbangan ini dengan mengikut langkah-langkah di bawah:

  • Membuat semakan kelayakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan. Sekiranya pelajar didapati tidak layak, pelajar boleh klik rayuan bagi memulakan permohonan rayuan;
  • Mengisi maklumat-maklumat pelajar yang dipohon bagi semakan pentadbir di institusi pendidikan masing-masing;
  • Setelah diperakukan dan disahkan pentadbir di institusi pendidikan masing-masing dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi universiti awam, kolej komuniti dan politeknik atau Kementerian Pendidikan bagi kolej matrikulasi dan institusi pendidikan guru, pelajar akan mendapat e-mel pemakluman kelulusan rayuan; dan
  • Pelajar boleh meneruskan permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan di syarikat penerbangan yang dipilih oleh pelajar.

Info penting: Permohonan rayuan boleh dibuat mulai 15 April 2025 sehingga 30 September 2025.

Aduan & Maklumat Tambahan

Bagi pelajar yang menghadapi masalah atau mempunyai aduan berkenaan tiket penerbangan yang ditebus menggunakan subsidi ini, anda boleh memaklumkan di syarikat penerbangan pilihan anda dengan cara berikut:

  • Malaysia Airlines Berhad/ FireFly/ MASwingsSebarang aduan berkenaan baucar FlySiswa yang dimohon daripada Malaysia Airlines boleh dibuat terus melalui pautan feedback form.
    • Pelajar perlu memilih “Enquiry” untuk “Type”, “General” untuk “Area” dan “Others” bagi “Category”.
  • AirAsia
    • Sebarang aduan berkenaan baucar FlySiswa yang dimohon daripada AirAsia, boleh dibuat terus melalui saluran “AskBo” pada laman sesawang AirAsia dengan memilih shortcut button “FLYsiswa”.
  • Batik Air Malaysia
    • Sebarang aduan berkenaan baucar FlySiswa yang dimohon daripada Batik Air Malaysia, boleh dibuat terus melalui e-mel kepada flysiswaone@batikair.com.my.

Pelajar juga boleh membuat pertanyaan atau aduan dengan Kementerian Pengangkutan di e-mel aduan@mot.gov.my

Untuk mendapatkan maklumat tambahan mengenai FLYsiswa, sila layari laman web https://www.mot.gov.my/my

Apa tunggu lagi? Mohon baucar subsidi Flysiswa anda sekarang!

Related Posts

STeP perkasa usahawan, buka akses bantuan dan geran perniagaan

SUNGAI SIPUT – Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) terus memperkukuh agenda pembangunan usahawan negeri apabila seramai 30 usahawan sekitar Jalong dan kawasan berhampiran menyertai Program Taklimat Bantuan Keusahawanan dan Pendaftaran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Cahaya matahari hasilkan bahan api dari sisa plastik

SEKUMPULAN saintis kini sedang membangunkan kaedah inovatif bagi menangani dua krisis global secara serentak, iaitu pencemaran plastik dan permintaan terhadap tenaga bersih, dengan menukarkan sisa plastik kepada bahan api menggunakan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Surau Ad-Dhuha lokasi Reachout Komuniti Sungai Lembing

Surau Ad-Dhuha lokasi Reachout Komuniti Sungai Lembing

RM50 juta dana PTPK sokong pelaksanaan TVET 2.0

RM50 juta dana PTPK sokong pelaksanaan TVET 2.0

Trump arah ketua perisikan sementara pecat kakitangan

Trump arah ketua perisikan sementara pecat kakitangan

Orang politik tunggang krisis diraja Negeri Sembilan?

Orang politik tunggang krisis diraja Negeri Sembilan?

PKR Masjid Tanah tampil calon muda, bukti komitmen bawa perubahan 

PKR Masjid Tanah tampil calon muda, bukti komitmen bawa perubahan 

Permohonan undi pos PRN Johor dibuka

Permohonan undi pos PRN Johor dibuka