DATUK Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada keluarga Sheikh Abdullah Amirul Sheikh Abu Bakar yang terbabit dalam nahas jalan raya, tahun lalu.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Perdana Menteri berkata, Sheikh Abdullah Amirul kini terlantar dan tidak dapat memberikan sebarang tindak balas akibat nahas itu.
Anwar dimaklumkan kos rawatan remaja terbabit mencecah ribuan ringgit sebulan.
“Lebih memburukkan keadaan apabila bapanya, Sheikh Abu Bakar pula diberhentikan kerja, sekali gus menjejaskan keadaan kewangan seluruh keluarga.
“Saya amat terkesan dengan situasi yang menimpa keluarga ini. Mendoakan kesembuhan berkekalan buat adik Sheikh Abdullah Amirul.
“Semoga Allah SWT memudahkan urusan dan mengurniakan kekuatan buat keluarga ini mendepani ujian, Insya-Allah,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata, sumbangan itu yang bertujuan membantu meringankan kos perubatan dan kehidupan seharian keluarga berkenaan, disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi mewakili beliau.





