Larangan merokok di bangunan tempat kerja tak bercanggah Perlembagaan Persekutuan

PUTRAJAYA – Langkah kerajaan persekutuan memasukkan bangunan tempat kerja sebagai lokasi baharu dalam senarai kawasan larangan merokok yang berkuat kuasa hari ini merupakan langkah sah, munasabah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Profesor Dr Jamalludin Ab Rahman berkata, pelaksanaan dasar itu adalah langkah tepat dan perlu demi melindungi kesihatan orang ramai.

Menurutnya, kajian telah membuktikan pendedahan terhadap asap rokok di kawasan tertutup meningkatkan risiko penyakit kronik termasuk perokok pasif.

“Larangan itu bukan bertujuan untuk mendiskriminasi perokok tetapi bagi memastikan keseimbangan antara hak individu untuk merokok dan hak masyarakat untuk menikmati persekitaran bebas asap rokok.

“Perokok masih boleh merokok di kawasan yang dibenarkan. Tindakan undang-undang untuk mencabar dasar itu adalah tidak selari dengan keperluan kesihatan awam dan bukti saintifik,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Mohamed Haniff Khatri Abdulla memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung larangan merokok di kawasan pejabat termasuk milik swasta yang dibuat kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan, yang bakal diguna pakai mulai 1 Januari 2025.

Beliau yang juga seorang peguam menamakan Kerajaan Malaysia dan Menteri Kesihatan sebagai defendan pertama dan kedua dalam samannya yang difailkan secara dalam talian, semalam.

Dalam pada itu, Jamalludin berkata, tindakan Mohamed Haniff yang mempertikaikan larangan tersebut, memerlukan penjelasan kukuh mengenai tujuan dan rasional pelaksanaan peraturan itu.

“Langkah kerajaan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) adalah selaras dengan tanggungjawab melindungi kesihatan masyarakat.

“Oleh itu, tindakan ini memastikan pekerja dan pelanggan dilindungi daripada kesan buruk asap rokok, selaras dengan prinsip hak untuk hidup dalam persekitaran yang sihat sebagaimana dijamin di bawah Artikel 5 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada masa sama, Jamalludin menegaskan dasar dilaksana Kerajaan Madani itu juga selaras dengan obligasi Malaysia di bawah World Health Organization Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC).

“Berdasarkan konvensyen itu, ia menyatakan negara anggota perlu melindungi orang awam daripada pendedahan asap rokok di tempat kerja, pengangkutan awam, dan tempat awam tertutup dengan melaksanakan perkara-perkara yang digariskan di bawah Artikel 8 berkaitan perlindungan daripada pendedahan kepada asap tembakau

“Lantaran itu, PPPKAM ingin menegaskan bahawa larangan merokok di kawasan tertutup, termasuk tempat kerja, yang mula berkuat kuasa hari ini, adalah langkah yang tepat dan perlu demi melindungi kesihatan masyarakat,” katanya.

Pada 4 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dilapor berkata premis dobi dan bangunan tempat kerja menjadi lokasi baharu tersenarai dalam kawasan larangan merokok berkuat kuasa 1 Januari, susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober tahun lalu.

Dr Dzulkefly berkata, ia menjadikan 28 tempat larangan merokok secara keseluruhan diwartakan di bawah Akta 852 itu.

Antara kawasan dilarang merokok lain yang diwartakan ialah kawasan hospital atau klinik, lif atau tandas awam, tempat makan, kedai berhawa dingin, bangunan hentian pengangkutan awam, kawasan lapangan terbang kecuali kawasan atau bilik merokok yang telah diluluskan, kawasan premis kerajaan dan kawasan institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi.

Turut tersenarai pusat hiburan atau teater kecuali kasino, kawasan taman asuhan kanak-kanak, kompleks beli-belah, stesen minyak, perpustakaan, kafe Internet, stadium, pusat kecergasan atau gimnasium serta di dalam bas sekolah dan kenderaan awam.

Related Posts

Internet lebih luas, Awan AI Berdaulat memperkasa kedaulatan digital negara – Fahmi

KUALA LUMPUR – Pembangunan Awan AI Berdaulat merupakan antara langkah utama kerajaan MADANI bagi memastikan maklumat terperingkat negara kekal selamat dan tidak terjejas oleh dasar serta perundangan negara asing. Menteri Komunikasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Syarat simpanan RM15,000 bukan bebanan, ukur kesiapsiagaan jemaah haji

PUTRAJAYA – Syarat simpanan minimum RM15,000 bagi bakal jemaah haji perlu dilihat sebagai langkah mengukur kesiapsiagaan kewangan, bukannya bebanan kepada rakyat terutamanya dalam memastikan pengurusan ibadah haji negara berjalan secara…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

IPU Sandakan cecah 112, berada pada tahap tidak sihat

  • By Fandi
  • October 15, 2026
IPU Sandakan cecah 112, berada pada tahap tidak sihat

Kelewatan Pan Borneo Fasa 1A libat pelbagai cabaran – Salleh

Kelewatan Pan Borneo Fasa 1A libat pelbagai cabaran – Salleh

Puad persoal idea ekonomi Hamzah, tindakan Rafizi lepas kerusi Pandan

Puad persoal idea ekonomi Hamzah, tindakan Rafizi lepas kerusi Pandan

Cadangan mansuh syarat simpanan minimum RM15,000 haji dijawab di Dewan Rakyat

Cadangan mansuh syarat simpanan minimum RM15,000 haji dijawab di Dewan Rakyat

Pengerusi PERDA tidak mengaku terima suapan RM800,000

Pengerusi PERDA tidak mengaku terima suapan RM800,000

557 lampu jalan solar dicadang dipasang di laluan ke Pekan Kabong

557 lampu jalan solar dicadang dipasang di laluan ke Pekan Kabong