
PESURUHJAYA Badan Perhubungan Pas Negeri Perak, Razman Zakaria, dilabelkan sebagai tukang karut bagi segelintir pengundi terutama di Perak, mendakwa apa sahaja yang keluar dari mulut beliau sekadar omongan kosong.
Bahkan, beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak tidak pernah serik menabur dan membuat fitnah di dalam siri ceramah mahupun ucapan beliau dalam mengajak para pengundi membenci pentadbiran kerajaan terkini.
Seorang penyokong Pakatan Harapan, Nazril Iznil Mohd Naim berkata, orang Islam dengan orang Pas berbeza sifatnya.
“Orang Islam takut akan Allah, menjauhi fitnah, tetapi orang Pas tidak takut akan perintah Allah, malah mereka mendekati fitnah.
“Mereka tidak patuh dan takut pada Allah dan ajaran Islam, tetapi mereka amat patuh dan taasub pada parti, itulah hakikatnya,” tulisnya di dalam perkongsian di laman Facebook Friends of Pakatan Harapan (PH).
Malah Nazril turut berkongsi sepotong ayat berkaitan “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)” dari Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Terbaharu, sekali lagi Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunong Semanggol, mengajak rakyat untuk bersama-sama parti Pas dan Bersatu dalam menumbangkan Kerajaan Madani sebelum menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Dalam ucapan ceramahnya pada ‘Ceramah Selamatkan Malaysia’ bertempat di Markas Pas Kampong Gajah, Pasir Salak pada 22 Disember lalu, beliau menggesa agar para pengikut parti itu meneruskan sokongan kepada tampuk kepimpinan sedia ada bagi menjatuhkan Kerajaan Madani sebelum menjelang PRU16.
Tambahnya, bagi merealisasikan usaha itu, beliau meminta agar penerangan berterusan perlu sehingga ke peringkat akar umbi.
Dakwanya, tidak boleh ambil mudah dan dilengahkan kerana akan mendatangkan kemudaratan besar dalam meraih kemenangan.
Ceramah tersebut turut dihadiri Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.
Tindakan Pas yang dilihat kalut itu turut mendapat reaksi terutama daripada para penyokong Kerajaan Madani.
Bendahari UMNO Bahagian Parit Buntar, Shamsul Hussin berkata, apa sahaja yang keluar dari mulut Razman sekadar omongan kosong sahaja.
“Beliau memang terkenal dengan orang yang suka membuat spekulasi atau fitnah.
“Apa sahaja yang dia cakap, tiada asas. Hanya omong-omong kosong atau mengarut.
“Kalau beliau dakwa pentadbiran serta kepimpinan Menteri Besar (MB) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad tidak bagus, itu tidak benar.
“Sedangkan Saarani sudah berjaya membuatkan negeri Perak hari ini mencapai keuntungan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Ahad.

Justeru itu, beliau menggesa supaya Razman menjadi ketua pembangkang yang profesional dalam menjadi ‘check and balance’ bagi kerajaan Perak terutamanya.
“Bukan mencari jalan untuk menukar kerajaan yang telah stabil dari segi politik dan ekonomi,” tambahnya.
Untuk rekod, Razman Zakaria, mempunyai tiga saman kes fitnah pada tahun 2024 iaitu pada Februari melibatkan fitnah ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu mempromosi LGBT dan komunis.
Manakala dua lagi fitnah iaitu pada 2 Disember di mana beliau memfitnah MB Perak sebagai zalim dan biadab.
Manakala terbaru pada 11 Disember 2024 iaitu fitnah ke atas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, yang mendakwa beliau terlibat dalam acara kibar Bendera China di Parlimennya, Parlimen Teluk Intan.
Nampaknya beliau hanya pandai menabur fitnah dan apabila kalah, memohon maaf.





