
PENAMPANG – Seorang penunggang motosikal maut ekoran hilang kawalan dan bertembung kenderaan bertentangan di KM 38 Jalan Penampang-Tambunan, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Supritendent Sammy Newton berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 12.45 tengah hari itu melibatkan mangsa lelaki tempatan, berumur 20 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri ke laluan bertentangan lalu bertembung kereta dari arah Penampang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas dan dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk bedah siasat.
“Manakala pemandu kereta terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media di laman Facebook rasmi pada malam Khamis.
Menurut Sammy, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pihak polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.
“Sammy mengingatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.







