
KINABATANGAN – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) lelaki yang dikhuatiri hilang dibaham buaya selepas bot dinaiki bersama rakannya karam di Kampung Bilit awal pagi Khamis, akan disambung semula hari ini.
Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, mangsa, Maznin Kahar, 40, sedang dalam perjalanan ke pusat pemunggahan kayu bersama tiga rakannya dengan menaiki sebuah bot sebelum secara tiba-tiba bot berkenaan terlanggar suatu objek lalu terbalik dan karam.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin, tiga rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri ke tebing sungai.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pukul 1.35 petang dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sukau.
“Operasi SAR kemudian dijalankan dengan radius pencarian 1 kilometer dari tempat mangsa dilaporkan hilang dengan menggunakan kaedah ‘surface searching’.
“SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan orang awam,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Menurut Nurul Azlan, mangsa masih belum dijumpai setakat petang Khamis dan operasi SAR ditangguhkan pukul 5.39 petang berikutan cuaca semakin gelap di lokasi.



