Gambar hiasan
KUANTAN – Banjir kilat dilaporkan berlaku di Raub dan Lipis dengan 22 mangsa daripada lapan keluarga di daerah itu dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) susulan hujan berterusan sejak semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lipis memaklumkan dua kampung terjejas iaitu Kampung Beletik dan Kampung Lubuk Kulit dengan mereka yang terkesan dipindahkan ke PPS sekitar jam 11.30 pagi tadi.
“Banjir di Lipis berpunca limpahan sungai dari Raub yang mengalir ke sungai Lipis sehingga beberapa rumah penduduk dinaiki air paras paha.
“Seramai 18 mangsa daripada tujuh keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Masjid Kampung Beletik dan Sekolah Kebangsaan Lubuk Kulit,” menurut kenyataan itu.
Semakan di portal Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran, lima sungai di negeri ini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga iaitu Sungai Jelai di Jeti Lipis, Sungai Jelai di Jeram Bungor dan Sungai Jelai di Kuala Medang, Lipis; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh serta Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub.



