
PUTRAJAYA – Penjawat awam yang menerima kenaikan gaji pertama selepas pelarasan di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), berkuat kuasa hari ini menyifatkan pelarasan itu saat dinantikan selepas 12 tahun menunggu.
Berdasarkan tinjauan The Malaysia Press (TMP), hari ini, rata-rata daripada mereka menzahirkan kesyukuran, selain berterima kasih kepada Kerajaan Madani atas pelaksanaan pelarasan gaji itu.
Seorang penjawat awam dari Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Muliana Tahir, 37 berkata, pelarasan gaji itu dianggap tepat pada masanya, lebih-lebih lagi untuk penjawat awam yang mempunyai anak sedang bersekolah.

“Kenaikan (penyelarasan) gaji itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan bulanan keluarga, menampung keadaan dari segi membantu kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Ini masa tepat, yang bersesuaian tempoh masanya, lagi-lagi bila dah nak masuk tahun baharu, ibu seperti saya yang sudah mempunyai seorang anak sekolah dilihat membantu membuat persediaan untuk sesi persekolahan baharu Januari nanti,” katanya ketika ditemui TMP di sebuah pusat beli-belah, hari ini.
Dalam pada itu, kakitangan kerajaan dari Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ahmad Hamdan Ramli, 34 menyifatkan pelarasan gaji terbabit sebagai rezeki dalam memastikan kelangsungan hidup dalam era semakin mencabar.

Menurutnya, penjawat awam ketika ini berdepan dengan cabaran kos sara hidup yang tinggi terutama yang tinggal di bandar besar dan mempunyai anak ramai.
“Kenaikan gaji menerusi SSPA amat membantu kami sebagai penjawat awam, kalau ikutkan ekonomi sekarang tidak menentu selepas pandemik Covid-19. Kami bersyukur dengan kenaikan gaji itu.
“Sehubungan itu, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana telah menaikkan kadar gaji yang dilihat dapat membantu perbelanjaan kami penjawat awam pada setiap bulan,” katanya.
Ditanya sekiranya SSPA mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding Sistem Saraan Malaysia (SSM), Ahmad Hamdan tidak menafikan perkara itu dan berpandangan dasar baharu itu dilihat lebih sistematik dalam memperkasa khidmat penjawat awam.
“SSPA banyak membantu, kalau diikutkan sistem baharu itu banyak penambah baikan dari segi gaji, cara penjawat awam bekerja dengan cara lebih berkualiti yang dilihat lebih banyak manfaat yang kita terima,” katanya.
Sementara itu, Nik Muhd Hasbi Nik Daud, 44, yang merupakan pegawai kerajaan di Kementerian Kesihatan (KKM) pula berpandangan, penyelarasan gaji itu membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mendengar keluhan dan permasalahan dihadapi penjawat awam, khususnya mendepani cabaran kos sara hidup.

Katanya, kenaikan itu membangkitkan semangat penjawat awam untuk menggandakan usaha dalam memberikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.
“Ini antara perkara yang kami tunggu-tunggu sebelum ini bila ia akan direalisasikan, ia patut disyukuri biarpun kenaikan nilai ringgitnya tidak banyak. Kita hargai komitmen Kerajaan Madani yang betul-betul menjiwai keluh-kesah dihadapi penjawat awam.
“Penyelarasan ini sedikit sebanyak melegakan mereka yang berdepan suasana persekolahan tahun hadapan, selain kebimbangan perkara-perkara yang menjadi rutin untuk kami membuat pembayaran komitmen secara bulanan.
“Selaku penjawat awam, perkara ini memberi motivasi untuk terus komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagaimana telah diamanahkan kepada kami,” katanya.
Di bawah SSPA, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih skim berkenaan, akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15 peratus secara berfasa iaitu lapan peratus bagi Fasa 1 pada Disember 2024, manakala tujuh peratus untuk Fasa 2 pada Jan 2026.
Sementara itu, bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) akan menerima pelarasan gaji tujuh peratus dengan empat peratus bagi Fasa 1 dan tiga peratus bagi Fasa 2, menerusi SSPA yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Ogos lalu.



