
SANDAKAN – Sebahagian besar penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Madani kerana akhirnya merealisasikan pelarasan kenaikan gaji selepas 12 tahun tanpa sebarang perubahan.
Seorang Penolong Jurutera, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sandakan, Saziri Ibin, 47, berkata, dia amat berpuas hati dengan kenaikan gaji yang diumumkan dan menyifatkannya sebagai kenaikan paling tertinggi pernah diumumkan.
“Saya telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 19 tahun dan kenaikan ini memberikan suntikan motivasi kepada saya serta semua penjawat awam untuk terus bekerja dengan lebih dedikasi.
“Pelarasan ini menunjukkan kerajaan sentiasa peka terhadap kebajikan penjawat awam dan menghargai perkhidmatan yang diberikan,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press, pada Khamis.
Bagi seorang penjawat awam daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Depot Tahanan Imigresen (DTI) Sandakan, Asry Sulaiman, 42, berkata, kenaikan gaji ini adalah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup kakitangan awam.
“Kenaikan 15 peratus diumumkan amat membantu penjawat awam dalam mendepani masalah kos sara hidup.
“Alhamdulillah, saya bersyukur atas rezeki yang diberikan dan akan membelanjakan kenaikan gaji ini dengan bijak serta untuk keperluan perbelanjaan keluarga.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana begitu mengambil berat terhadap kebajikan kami,” katanya.
Terdahulu, pelarasan gaji ini dimulakan pada fasa pertama pada 1 Disember 2023, diikuti fasa kedua yang akan bermula pada 1 Januari 2026 melibatkan seramai 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 18 Oktober lalu.



