
SIBU -Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi seorang mangsa lelaki yang dikhuatiri jatuh kapal di Sungai Rajang memasuki hari keenam hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa dikenali sebagai Kumar Dinesh merupakan warganegara India berusia 21 tahun masih belum ditemukan.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada 12 Disember 2024, kira-kira jam 3.10 petang, berdekatan Syarikat Metagaya Sdn Bhd, Jalan Stabau.
Pakaian terakhir mangsa semasa kejadian adalah baju merah lengan panjang dan seluar sukan hitam.
Pasukan SAR yang diketuai Komander Operasi Kanan, PBT II Salim Hussain, dan Komander Operasi PBK II Winston Tan memulakan pencarian pada 8 pagi.
“Pencarian dilakukan secara surface searching meliputi jarak 25 hingga 30 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB),” jelas kenyataan.
Selain itu, lokasi pencarian turut diperluaskan ke beberapa kawasan baharu termasuk Perairan Salim, Ulu Lanang, Tanjung Salalo, dan Sungai Igan.
Difahamkan operasi ini dijalankan bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Polis Marin, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Setakat ini, mangsa masih belum dijumpai dan usaha pencarian masih diteruskan.




