
PEMBANGKANG Perikatan Nasional (PN) yang rancak memburukkan kepimpinan Kerajaan Madani dinasihatkan untuk melunaskan manifesto di empat negeri yang mereka kuasai.
Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah memiliki dan menawarkan manifesto ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
Tegasnya, pada pilihan raya umum lalu rakyat telah menolak kesemua manifesto daripada parti-parti yang bertanding sehingga tiada satu parti pun yang memperolehi majoriti mudah 112 kerusi di peringkat Parlimen.
“Rakyat jangan keliru, di peringkat Persekutuan manifesto tidak dapat dilaksanakan kerana rakyat menolak secara total semua manifesto.
“Ini bukan kerajaan BN, ini bukan kerajaan PH tapi ini Kerajaan Perpaduan, yang mana satu manifesto yang kita nak ikut?
“Tapi berbeza dengan PN. Mereka ada empat negeri yang kena laksanakan manifesto secara mutlak, kita jangan buat-buat lupa hal itu,” katanya ketika ditemui.
Mengulas lanjut, Dr Azhar berkata, rakyat di empat negeri dikuasai pembangkang pastinya menagih janji seperti yang terkandung dalam manifesto ketika ditawarkan pada pilihan raya yang lalu.
“Rakyat pilih mereka sebab percaya ‘produk’ yang mereka jual, sekarang ni pastinya rakyat mahu rasa kebaikan produk yang mereka ‘beli’ itu.
“Empat negeri ini PN gelar SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Mereka wajib melaksanakan apa yang dijanji yang terkandung dalam manifesto yang ditawarkan semasa pilihan raya. Kena tunaikan.
“Kedah kena laksanakan apa yang dijanjikan manifesto kepada rakyat, Perlis laksanakan kalau ada manifesto ketika itu, Terengganu di bawah Pas, laksanakan manifesto yang dijanjikan sehingga rakyat beri kemenangan mutlak tiada pembangkang, ini mandat sepenuhnya.
“Kelantan yang ada tiga pembangkang dan kerajaan Pas Kelantan kena tunaikan apa yang dijanjikan kepada rakyat. Sekiranya mereka tidak laksanakannya mereka termasuklah ke dalam golongan yang selalu mereka sebutlah, saya tak mahulah sebutkannya,” katanya.
Meskipun Kerajaan Perpaduan tiada manifesto, namun Dr Azhar menjelaskan kepimpinan Kerajaan Madani masih dapat menguruskan rakyat dan negara dengan baik.
*Minta maaf banyak-banyak kerana rakyat juga telah menolak di peringkat pusat, dan rakyat tidak berhak menuntut apa yang dijanjikan dalam manifesto kerana memang tiada manifesto, kerajaan yang terbentuk ini adalah Kerajaan Perpaduan.
“Cumanya, kejayaan utama Kerajaan Perpaduan ialah apabila PMX dan Presiden parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan dapat membentuk kestabilan politik yang utuh sekali gus mensejahterakan Malaysia.
“Ini paling utama, apabila politik stabil, maka tiadalah gangguan dan kerajaan dapat merancang pelbagai dasar-dasar untuk rakyat dan negara. Orang luar pun tengok kita baik, maka pelabur tertarik nak melabur di Malaysia, dan banyak lagi kebaikannya apabila politik negara stabil.
“Jadi buat waktu ini cantik dah untuk rakyat. Cuma yang tak cantiknya apabila pembangkang buatnya jadi kelabu. Sentiasa nafi, nafi dan nafi apa sahaja usaha kebaikan yang kerajaan dah buat untuk rakyat dan negara,” katanya.
Dr Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, rakyat akan menghakimi dalam pilihan raya akan datang jika cakap tidak serupa bikin berterusan melanda di empat negeri PN tersebut.
“Ini yang rakyat kecewa, rakyat dah undi mereka tapi servis mereka kepada rakyat memang mengecewakan. Peluang pekerjaan tak rancak dan pelabur tak masuk di empat negeri PN kuasai itu.
“Di Kedah pelabur cabut lari baru-baru ini, litar motosikal masih tak siap seperti dijanjikan, di Kelantan pun sama, stesen bas Kota Bharu masih dok macam tu tak siap, apatah lagi kemudahan bekalan air bersih di sana.
“Di Terengganu kerajaannya masih bergantung pada wang ehsan minyak, tiada hala tuju dan tak tahu cara mana nak pertingkatkan ekonomi negeri.
“Mereka kena tunaikan janji manifesto sebab mereka menang mutlak dan dapat mandat rakyat di empat negeri itu, ibarat perahu sudah di air, dayung sudah di tangan, apa lagi nak ditunggu, tunaikanlah janji-janji manifesto itu,” katanya.





