
PENAJA kepada pemain perseorangan profesional negara Lee Zii Jia, Victor, membuat permohonan maaf berhubung kesilapan melibatkan logo Jalur Gemilang yang terbalik di jersi pemain itu pada perlawanan pertamanya di Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam.
Victor Malaysia dalam kenyataan dimuat naik di akaun X, mengakui kesilapan dan kesal dengan insiden berkenaan sambil menjelaskan pihaknya amat menghormati negara Malaysia, simbol kebangsaannya atau kebanggaan serta kehormatan mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Kami dengan ikhlas memohon maaf kepada semua peminat badminton Malaysia dan Lee Zii Jia atas kesilapan pada jersinya semasa Jelajah Dunia Akhir BWF hari ini.
“Bendera Malaysia melambangkan perpaduan dan identiti. Justeru, kami amat kesal dengan sebarang tindakan tidak disengajakan yang disebabkan oleh kesilapan ini,” menurut kenyataan itu.
Menurut Victor, pihaknya sedang meneliti secara menyeluruh bagi memastikan kejadian sama tidak berulang lagi.
Logo Jalur Gemilang yang ditampal secara terbalik di kiri baju dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen jelas kelihatan di televisyen dan mencetuskan kekecohan di media sosial.
Pada perlawanan pertama kumpulan A itu, Zii Jia berjaya menewaskan Tien Chen 21-13, 21-15.



