
LAHAD DATU – Sebanyak 11,621 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Lahad Datu sejak Januari hingga November tahun ini.
Pengarah JPJ Sabah, Mohd Harris Ali berkata, daripada jumlah itu, 5,778 saman atau 49.72 peratus membabitkan kesalahan tertinggi iaitu ketiadaan lesen memandu.
“Kes ini menunjukkan peningkatan sangat ketara dari tahun lepas iaitu sebanyak 3,214 saman yang yelah direkodkan.
“Jumlah kenaikan yang besar inipun adalah refleksi kepada tindakan penguat kuasaan yang kita pertingkatkan,” katanya kepada media selepas Operasi Bersepadu yang dijalankan di Sri Perdana Jalan Lahad Datu-Tawau pada Selasa.
Mengenai Ops Bersepadu berkenaan, Mohd Harris berkata, lebih 200 kenderaan telah diperiksa dan jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik adalah 86 saman.
“Tiada lesen memandu 27 saman, lesen kenderaan motor tamat tempoh 15 saman, 13 tamat perlindungan insuran, ubah suai tanpa kebenaran lima saman dan lain-lain selain menyita sebuah kereta dan motor.
“Statistik ini menunjukkan komitmen JPJ khususnya cawangan Lahad Datu dan stesen penguat kuasa Segama dan Silam untuk memastikan pematuhan yang lebih tinggi sekali gus memastikan keselamatan di jalan raya,” jelas beliau.
Menurut Mohd Harris, JPJ Lahad Datu turut menerima 10 aduan melalui aplikasi MyJPJ atas pelbagai kesalahan lalu lintas seperti memotong di sebelah kiri, kenderaan menghalang lalu lintas, dan membuat pusingan U di laluan yang tidak dibenarkan.






