
USAHA mengekalkan sokongan ke atas Ahli Parlimen Kepala Batas dalam isu kekalahan saman fitnah oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) merupakan suatu tragedi dalam konteks peradaban Melayu.
Membawa mereka ke arah itu boleh dianggap menjumudkan pemikiran kerana sudah terang lagi bersuluh, tuduhan Dr. Mastura ke atas tiga pemimpin DAP itu bersifat fitnah.
Apa tidaknya; dalam perbicaraan, ahli politik pembangkang itu tidak mampu membukti secara berfakta bahawa kesemua pemimpin DAP tersebut mempunyai pertalian darah dengan bekas Perdana Menteri Singapura, apatah lagi Ketua Parti Komunis Malaya (PKM) – Chin Peng.
Dr. Mastura juga gagal membuktikan adanya kaitan ucapannya di Kemaman dengan dokumen terbitan UMNO yang dikatakan menjadi rujukannya sehingga dia melakukan tuduhan berat ke atas Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok.
Malangnya, di media sosial, galak sesetengah pihak berkempen agar rakyat Malaysia terus menyokong Dr. Mastura.
Kita bukannya dengki kepada Dr. Mastura dan menghalang dia tanpa sebab daripada mendapat sokongan.
Peringatan dan ‘halangan’ ini bersebab – sikap dan usaha itu akan meletakkan orang Melayu (dan bangsa lain yang sedemikian) ke jurang ‘pembodohan’.
Ya, itu memandulkan benih kebijaksanaan Melayu kerana kita menyokong perkara yang salah dan bertentangan ajaran agama.
Jika kita menyokong ahli politik itu bermakna kita menyokong amalan memfitnah – suatu perbuatan yang sangat dibenci oleh Rasulullah SAW.
Kita diajar oleh Islam agar adil kepada semua pihak, termasuklah orang bukan Islam dan semua makhluk tetapi pihak yang menyokong Dr. Mastura itu kelihatan amat tidak adil kepada ketiga-tiga pemimpin DAP tersebut.
Itu suatu tragedi!
Kalaulah gerakan menyokong Dr. Mastura itu diteruskan, Islam dilihat sangat tidak adil oleh orang bukan Islam.
Bukan sahaja orang Melayu dilihat sangat teruk jika itu diperhebat, bahkan pintu dakwah menjadi rapat dan sukar untuk kita masuki.
Perlu diingat, satu daripada tugas orang Islam, berdakwah – menyampaikan kebenaran kepada semua manusia; membawa mereka ke jalan yang benar.
Bagaimana mahu semua itu dilakukan jika kita kehilangan ruang itu akibat kegopohan dan ketidakbijakan kita sendiri?
Ketidakbijakan itu akan menghasilkan kerugian jangka panjang kepada orang Islam sekali gus orang Melayu kerana kita ‘menutup’ pintu kepercayaan pihak lain.
Kita sukar menjadi bangsa yang besar dari segi penguasaan ekonomi, politik kita berpecah-belah, banyak masa kita digunakan untuk bergaduh perkara yang remeh-temeh.
Secara tidak sedar, kita hanya menjadi alat kepada pihak yang tertentu untuk membolehkan mereka mencapai matlamat masing-masing.
Kita sepatutnya bertidak matang – menyokong pihak yang benar; sekali-kali tidak menzalimi sesiapa.
Ingatlah, Melayu, kita perlu menjauhi tragedi.
Kita mampu melakukannya jika kita tidak memajakkan akal kita kepada oportunis!







