
KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berpuas hati dengan Program Institut Keusahawanan Negara (Insken) Bumiputera ‘Business Coaching’ (IBBC) Sabah yang memberi manfaat kepada usahawan-usahawan negeri ini.
Demikian dinyatakan Menterinya, Datuk Ewon Benedick yang menzahirkan kegembiraan selepas mengunjungi Restoran Nasi Mandi milik peserta terbaik Insken IBBC Sabah, Abdul Malik Hassim.
“Saya mengambil kesempatan pertemuan ini untuk mendapatkan maklum balas beliau mengenai program IBBC dan kursus lain yang ditawarkan Insken sebagai salah satu agensi di bawah Kuskop.
“Saya gembira kerana program Insken memberi manfaat kepada usahawan-usahawan Sabah terutama selepas pejabat perkhidmatan dibuka di Penampang pada Mei lepas di bawah Dasar Pandang Ke Timur saya di Kuskop,” katanya kepada media.
Menurut Ewon, selepas mengikuti program Insken, Abdul Malik berjaya meningkatkan jualan sebanyak 87 peratus berbanding sebelumnya.
“Saya juga mengesahkan juadah atau menu yang ditawarkan di restoran ini memenuhi citarasa saya dan menjemput semua rakan untuk turut sama mengunjungi restoran ini.
“Saya doakan saudara Malik dan isteri diberkati dengan kesihatan dan kesejahteraan, perniagaan terus berkembang maju dan menjadi motivasi kepada usahawan lain,” katanya.
Restoran yang diusahakan pasangan suami isteri berkenaan terletak di Taipan, Inanam selain turut mempunyai restoran yang sama di Kingfisher Sulaman, Kota Kinabalu.





