
ALOR SETAR – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa kerajaan negeri tidak bertanggungjawab selepas syarikat Bin Zayed International (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka baru-baru ini.
Menurutnya, kerajaan negeri merupakan tuan tanah dan bukan hanya sekadar melulus tanah, mengambil premium dan cukai dari pelabur kemudian tiada lagi sebarang tanggungjawab atau cuci tangan.
Katanya, sebagai kerajaan negeri adalah menjadi kewajipan bagi memantau segala hala tuju setiap pelabur yang membuat pelaburan di negeri ini. Tidak kiralah sama ada pelaburan itu membabitkan dari syarikat swasta.
“Bagaimanapun adalah sangat dangkal segala jawapan yang diberi oleh Sanusi bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang tanggungjawab. Kerajaan negeri bukan tunggul kayu yang tidak mempunyai sebarang kuasa apabila pelabur datang untuk melabur.
“Malah kerajaan negerilah yang akan menentukan sebarang hala tuju pihak swasta membuat pelaburan di sini supaya dapat dimanfaatkan oleh kerajaan dan rakyat negeri ini.
“Semalam Sanusi cuba melepaskan tangan apabila ditanya oleh wartawan mengapa BZI menarik diri dari dari projek RM40 bilion Langkasuka di Langkawi. Ini jelas menunjukkan Sanusi lemah dan gagal dalam mentadbir Kedah ini,” katanya kepada The Malaysia Press.
Menurut Shaiful Hazizy, segala pengumuman yang dilakukan oleh Sanusi itu pasti akan memberi kesan kepada pelaburan di negeri ini.
“Ini secara tidak langsung memberi gambaran kepada pelabur lain yang mahu melabur pasti akan tertanya-tanya mengapa pelabur seperti BZI itu sanggup menarik diri dengan suasana politik di Kedah hari ini.
“Tindakan Sanusi itu sudah pasti akan membuka mata rakyat Kedah dengan gaya kepimpinan Sanusi hari ini bahawa beliau gagal dalam membawa Kedah menjadi negeri yang maju pada masa akan datang,” ujarnya.
Shaiful Hazizy turut kecewa dengan cara tidak beradab Menteri Besar Kedah itu menjawab soalan yang diajukan wartawan semalam.
“Ramai yang kecewa dengan sikapnya yang menengking dan mengatakan ‘pekak’ beberapa kali kepada mereka yang mempersoalkan tindakannya itu. Inilah sikapnya apabila gagal menjawab soalan dengan baik tutur katanya sering dilempar dengan ayat-ayat kurang sopan.
“Saya nak tanya inikah acuan pendidikan Pas selama ini yang selalu mengadakan tamrin bagi mendidik ahlinya menjadi pemimpin Pas akan datang. Inikah hasilnya dengan maki hamun tanpa merasa bersalah di depan khalayak ramai.
“Rakyat di Kedah sangat malu apabila mendapat pemimpin seperti ini jika dibandingkan dengan pemimpin di negeri lain,” katanya.






