
Oleh: Hidayatun Nufus (Pelatih UPM)
BERITA baik buat penjawat awam Gred 9, 10, dan 11! Selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan bermula pada 1 Disember 2024, kerajaan telah meluluskan inisiatif kenaikan pangkat secara ‘one-off’. Langkah ini khusus untuk pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang sebelum ini tertakluk kepada kekosongan jawatan untuk menikmati kenaikan pangkat.
Inisiatif ini mencerminkan usaha kerajaan untuk memberikan penghargaan kepada penjawat awam yang gigih berkhidmat dan menjadi tunjang kepada pembangunan negara. Kini, anda tidak lagi perlu menunggu kekosongan jawatan – peluang kenaikan pangkat lebih terbuka untuk dinikmati semua. Jadi, apa yang istimewa tentang kenaikan pangkat ini, dan bagaimana ia akan dilaksanakan? Teruskan membaca untuk maklumat lanjut!
Syarat Kelayakan
Pihak Kementerian/ Jabatan/ Agensi hendaklah melaksanakan urusan kenaikan pangkat secara ‘one-off’ ini bagi pegawai yang telah memenuhi syarat-syarat yang berikut:
- Menerima tawaran opsyen SSPA
- Disahkan dalam perkhidmatan;
- Telah berada di suatu gred lantikan / kenaikan jawatan sebelum atau pada 30 November 2024 mengikut tempoh yang ditetapkan seperti jadual di bawah:
| GRED PERJAWATAN | TEMPOH MINIMUM | ||
| SSM | SSPA | SANDANGAN GRED SEMASA SSM | PERKHIDMATAN KESELURUHAN |
| Gred 41/42 ke Gred 44 | Gred 9 ke Gred 10 | 8 tahun | 8 tahun |
| Gred 44 ke Gred 48 | Gred 10 ke Gred 12 | 8 tahun | 16 tahun |
| Gred 48 ke Gred 52 | Gred 12 ke Gred 13 | 6 tahun | 22 tahun |
Nota: Tempoh yang menyebabkan pegawai hilang kekananan tidak boleh diambil kira sebagai tempoh sandangan gred semasa dan tempoh perkhidmatan keseluruhan.
- memperoleh markah prestasi 85% dan ke atas bagi tiga (3) tahun terkini berdasarkan wajaran yang ditetapkan serta markah prestasi tahun terakhir hendaklah sekurang-kurangnya 85%;
- Diperaku oleh Ketua Jabatan dan Ketua Perkhidmatan;
- Bebas daripada hukuman tatatertib pada 30 November 2024 dan semasa perakuan dibawa kepada Lembaga Kenaikan Pangkat;
- Telah mengisytiharkan harta berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan;
- Lulus tapisan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM);
- Bebas daripada disenaraikan sebagai Peminjam Pendidikan Tegar oleh institusi pinjaman pendidikan; dan
- Syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat seperti temu duga dan kriteria penilaian berdasarkan skim perkhidmatan masing-masing.
Pegawai yang dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat secara ‘one-off’ ini perlu menjalani tempoh pemangkuan selama satu (1) tahun dan akan dipertimbangkan kenaikan jawatan setelah memenuhi syarat-syarat kenaikan jawatan berdasarkan peraturan-peraturan dan pekeliling perkhidmatan yang berkuat kuasa.
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat terkini, rujuk Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam.
Sumber: Surat edaran JPA di https://www.jpa.gov.my/perkhidmatan/surat-edaran/surat-edaran-pelaksanaan-kenaikan-pangkat-secara-one-off-melibatkan-pegawai-kumpulan-pengurusan-dan-profesional-gred-9,-gred-10-dan-gred-12-di-bawah-sistem-saraan-perkhidmatan-awam





