PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia dikenali sebagai negara Madani yang gigih memacu pertumbuhan di samping menghidupkan penghayatan roh Islam.
Perdana Menteri berkata, kemajuan, pembangunan dan kemampanan dalam negara ini perlu berteraskan sistem nilai, keyakinan, jati diri, akidah dan akhlak.
“Sebab itu, untuk menyemarakkan Islam, persiapannya, pencerahannya dan ilmu sangat penting.
“Kita mulakan mata pelajaran wajib bagi anak-anak Islam di semua sistem pendidikan negara untuk menelaah 40 hadis, terjemahannya dan syarahannya.
“Tetapi kemuncak tentunya penguasaan ilmu dan hadis dan itu yang kita upayakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024, di Masjid Putra, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Majlis turut disertai ulama terkenal antaranya Mufti Besar India, Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari; Sheikh Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar; Sheikh Ismoil Muhammad Sadiq dari Uzbekistan dan Prof Dr Sheikh Yusri Rushd Jabar Al-Hasani dari Mesir.
Anwar berkata, penganjuran Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari diharap dapat meletakkan Malaysia sebagai negara yang menghidupkan roh Islam.
“Saya ingat lagi pesanan Al-Allamah Sheikh Abu Bakar… beliau pesan kepada saya apabila pegang jawatan sebagai Perdana Menteri, usahakanlah supaya ada majlis yang disebut Sama’ Khatam Hadith Sahih Al-Bukhari setiap tahun.
“Tahun lalu kita mulakan dengan sederhana dan alhamdulillah tahun ini kita saksikan kejayaan membanggakan,” katanya.
Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 adalah kemuncak penganjuran Majlis Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa yang bermula 10 November lalu.








