
PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober lalu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat nasional, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri menentukan dasar masing-masing, termasuk melarang penjualan vape melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya kira kerajaan negeri perlu membuat keputusan masing-masing. Kita tidak dapat mengharamkan vape ketika itu, maka kita mengambil sikap untuk mengawal selia.
“Sebagai langkah pertama, pastinya kita ingin mengharamkan tetapi jika tidak boleh diharamkan, kita perlu mengawal selia. Kerajaan Perpaduan tetap berpendirian kawal selia adalah pendekatan terbaik buat masa ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menyarankan pengharaman total terhadap penggunaan vape di negeri itu.
Al-Sultan Abdullah dilaporkan bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda akan penyalahgunaan dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutama dalam kalangan belia, berdasarkan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan.
Sebelum ini, Johor dilapor telah melaksanakan larangan menjual vape dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang menjualnya secara terbuka.
Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly menjelaskan bahawa Akta 852 menyediakan kerangka perundangan lengkap untuk mengawal selia seluruh rantaian bekalan vape, termasuk aspek pendaftaran, penjualan dan penghantaran.




