SETIAP bidang ada cerdik pandainya sama ada bersendirian mahupun berkumpulan.
Dalam hal ini, sering kita dengar mereka disebut sebagai ulama – sekumpulan orang yang alim dalam bidang tertentu, khususnya bidang agama.
Sebagai suatu peringatan, jika individu itu hanya seorang, seharusnya beliau dipanggil sebagai orang alim (alimin atau alimah); bukannya ulama.
Kata nama lain bagi ulama ialah hukuma – sekumpulan ahli hukum, iaitu orang-orang yang dapat berhukum (mengeluarkan hukum) atas sesuatu bidang kepakarannya.
Dalam sesebuah negara tanpa mengira zaman, suara hukama amat diperlukan supaya pentadbiran berjalan lancar dan kekeliruan rakyat dapat diperbetul.
Hal ini tidak tertakluk kepada mereka yang ahli dalam bidang agama semata-mata, sebaliknya bidang lain – ekonomi, sains teknologi, keselamatan, dan kebajikan.
Tidak terkecuali bidang hubungan luar, alam sekitar, bahasa, kesusasteraan dan bidang-bidang lain.
Malangnya, hukama dalam bidang tertentu seolah-olah menyepi ketika kerajaan amat memerlukan pandangan dan kebaktian mereka.
Lebih malang, sebahagian mereka itu telah lama diiktiraf oleh kerajaan sebagai pakar!
Ketika timbul isu tertentu yang boleh mengocakkan kedamaian serta keharmonian, mereka yang sepatutnya tampil ke arena pencerahan tidak muncul-muncul.
Kalaupun ada beberapa kerat yang bersedia tampil, wadah pula tidak disediakan oleh organisasi tertentu untuk mereka melaksanakan kewajipan.
Itulah hal yang sedang berlaku di negara kita.
Dalam isu kosa kata ketimbang baru-baru ini, tidak kelihatan ahli bahasa berani ke depan sedangkan dalam perbualan santai mereka mengiktiraf penggunaannya.
Rata-rata mereka yang ditemui mengatakan bahawa langsung tiada kesalahan kosa kata itu diguna pakai dan dijadikan entri Kamus Dewan.
Pun begitu, tiada usaha yang bersungguh-sungguh dalam kalangan majoriti mereka ke depan atas alasan takut dikecam, sebaliknya membiarkan ‘orang kerajaan’ sahaja bekerja.
Kalau ada pun seorang dua ahli bahasa yang berani ke depan, ada organisasi tertentu pula tidak bersedia mengumandangkan suara mereka.
Alangkah malangnya ini berlaku; hukama gentar menyatakan kebenaran, organisasi yang menaungi mereka pula enggan bekerjasama!
Sesuatu hal perlu dilakukan, nampaknya.
Jika tidak, berkemungkinan kita tercampak ke zaman gelap!
Inikah yang kita mahukan?



