
KOTA KINABALU – Usaha Kerajaan dalam memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat khususnya golongan bernasib baik, memerlukan kerjasama serta sokongan daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), korporat dan sektor swasta.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sejak lebih 30 tahun lalu Yayasan Kasih Suria telah melaksanakan pelbagai program dan kerja amal termasuk melalui pendidikan, kebajikan dan sosioekonomi yang memberi banyak manfaat kepada golongan memerlukan di Sabah.
“Konsert amal yang dilaksanakan Yayasan pada hari ini sangat bertepatan dengan keperluan kita menjadikan rakyat Malaysia masyarakat yang prihatin dan berbudi pekerti tinggi.
“Inisiatif orang persendirian, NGO, syarikat swasta dan korporat membantu mengadakan program kebajikan dan amal ini perlu dicontohi dan disokong sepenuhnya.
“Untuk itu saya menyeru agar lebih banyak lagi syarikat swasta dan korporat untuk tampil memberi bantuan kepada golongan memerlukan di negeri ini,” katanya dalam ucapan Konsert Amal Yayasan Kasih Suria yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Arif di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan tahniah atas usaha Yayasan tersebut yang diketuai oleh Datuk Raya Erom dalam membantu masyarakat yang kurang berkemampuan di Sabah menerusi pelbagai program yang disediakan.
“Antaranya termasuk program Rumah Kebajikan Suria yang memberi tempat perlindungan anak yatim, hingga ke Pusat Seni Suria yang menjadi platform belia mengembangkan bakar seni mereka.
“Yayasan ini juga mewujudkan Sekolah Agama Suria di Tuaran yang menjadi pusat bimbingan ilmu agama dan manfaat besar kepada komuniti tempatan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan sememangnya telah berusaha bersungguh-sungguh dalam membantu dan memberi keselesaan bagi mengurangkan beban rakyat yang kurang bernasib baik dari semasa ke semasa.
“Penganjuran majlis ini sangat bertepatan dengan usaha kerajaan khususnya salah satu teras dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu Modal Insan dana Kesejahteraan Rakyat, yang kita maklum, tidak semua masyarakat kita bernasib baik dan hidup dalam keadaan yang selesa.
“Bagaimanapun, usaha kerajaan sahaja tidak cukup, kita perlukan sokongan masyarakat secara keseluruhan dan semua pihak perlu terlibat dalam program kebajikan dan kemasyarakatan,” katanya.
Beliau berharap sumbangan menerusi konsert amal ini dapat digunakan dengan sebaik-baiknya untuk memperkasakan lagi program-program yang dijalankan, terutamanya bagi menaik taraf fasiliti Sekolah Agama Suria dan untuk memastikan lebih banyak lagi komuniti menerima manfaat.




