
PEMBANGKANG ingin menjadi ‘hero’ membela nasib pesawah dengan mendakwa kilang membeli padi dengan harga murah iaitu RM1,400 per tan ketimbang RM1,800 hingga membebankan petani.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengatakan pesawah terbeban kerana segala kos penanaman padi meliputi kos baja, kos jentera mengalami kenaikan lalu menyebabkan pendapatan petani semakin kecil seiring kenaikan kos sara hidup.
Namun seorang pemerhati politik, Ahmad Mursi, menerusi hantaran Facebook berkata, mengikut amalan sekarang, untuk mendapatkan harga jualan yang lebih baik, pesawah akan menjual padi kepada kilang yang menawarkan harga paling tinggi.
Menurutnya lagi, apabila sesebuah kilang itu membeli padi pada dengan harga yang tinggi, ia akan menjualnya dengan harga yang lebih mahal.
Antara taktik yang telah lama dipraktikkan katanya, ada kilang dipercayai mencampurkan beras tempatan dengan beras import dan menjualnya sebagai beras import dengan harga yang lebih tinggi agar mendapat untung yang lebih sedikit.
“Nak ‘check’ beras tu campur atau tidak, kena buat ‘DNA test’ yang rumit dan mahal dan tak praktikal untuk skala besar. Macam mana kilang nak beli mahal RM1,800 kalau lepas tu kena jual harga Beras Tempatan RM26 (kampit 10kg) tu? Margin kecil.
“RM26 tu ditetapkan 16 tahun lepas, (pada) 2008. Sejak tu, dah berapa banyak inflasi. Nak galakkan petani terus menanam, kena apungkan harga atau naikkan harga,” jelasnya lagi.

Sememangnya pengapungan harga padi atau beras akan menyebabkan kenaikan harga komoditi itu dan memberikan pesawah sedikit kelegaan dari segi pendapatan.
Oleh itu katanya, pengguna jangan hanya fikir kos sara hidup mereka sahaja yang meningkat kerana kos sara hidup pesawah juga meningkat.
Tambahan pula katanya, pendapatan bulanan pesawah tidak menentu jika dibandingkan dengan pekerja yang mempunyai gaji minimum dan progresif.
“Itu pun kerajaan dah bagi RM500 per tan untuk pesawah (dulu RM350), elaun sara hidup, selain subsidi input pertanian, ‘maintainance’ saliran dan lain-lain meliputi RM1.5 bilion kerajaan belanja pada 2023.
“Secara purata, Tahap Sara Diri (SSL) Beras Tempatan dari 2000 hingga 2022 ni sekitar 65 peratus. Nak cukupkan SSL 100 peratus kena buat pelan jangka panjang, tak boleh buat dalam setahun dua.
“Semua kerajaan sebelum ni ambil pendekatan import kerana kos lebih murah,” katanya.
Menjawab kenyataan bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac lalu, yang mengatakan tidak pernah berlaku ketiadaan beras tempatan dalam pasaran ketika di bawah pentadbirannya, Ahmad Mursi berkata, ia adalah kerana pengeluaran beras import tidak mempunyai masalah ketika itu.
“Muhyiddin kata zaman dia tak timbul pun masalah ni. Memanglah, harga beras import mula naik bila India dan Thailand ‘ban’ eksport tahun 2023 atas faktor cuaca, inflasi, keperluan dalam negara dan lain-lain.
“Mungkin dia buat-buat bodoh atau mungkin macam Ku Li kata, dia ni ‘lazy’.
“Muhyiddin, PN-Pas dan Kerajaan Tebuk Atap pun tak buat pelan jangka panjang cukupkan SSL 100 peratus untuk ‘food security’. Kini bercakap macam hero,” katanya.






